Ramai bersikap ‘jangka pendek’ dalam pengurusan kewangan, kata gabenor BNM

Ramai bersikap ‘jangka pendek’ dalam pengurusan kewangan, kata gabenor BNM

Abdul Rasheed Ghaffour berkata separuh daripada rakyat sukar menyediakan RM1,000 bagi kecemasan.

Abdul Rasheed Ghaffour melayani pelajar pada program Karnival Celik Kewangan 2023 peringkat Johor di Johor Bahru. (Gambar BNM)
PETALING JAYA:
Kaji selidik Bank Negara Malaysia (BNM) mendapati rakyat negara ini masih bersikap ‘jangka pendek’ dalam pengurusan kewangan yang antara kesannya menyebabkan ramai bergelut masalah sejak usia muda.

Gabenornya Abdul Rasheed Ghaffour berkata menerusi kaji selidik rangkuman dan keupayaan setiap tiga tahun itu, ramai pengguna juga tidak endah dengan risiko situasi luar jangka.

Menurutnya, separuh rakyat Malaysia sukar menyediakan RM1,000 bagi kecemasan dan satu daripada tiga pengguna tidak berminat mengambil tahu mengenai insurans dan takaful.

Merujuk statistik Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Rasheed berkata ramai yang terpaksa berhutang apabila memerlukan wang di waktu menghadapi kecemasan.

“Satu daripada tiga rakyat Malaysia merasa terbeban dengan hutang walaupun kebanyakan daripada mereka tergolong dalam kalangan yang mempunyai pendapatan yang berpatutan.

“Apabila kita dalami perkara ini ramai yang telah bergelut dengan masalah kewangan akibat pengurusan kewangan yang lemah sejak usia muda,” katanya yang turut mendedahkan 37% daripada rakyat berkongsi kata laluan dan nombor pin kepada keluarga serta rakan.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Karnival Celik Kewangan 2023 peringkat Johor di Johor Bahru.

Sehubungan itu, Rasheed menasihatkan orang ramai melengkapkan diri dengan kemahiran mengurus kewangan menerusi pelbagai platform disediakannya termasuk Karnival Celik Kewangan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.