Kadar indeks jenayah negara turun 1.1%

Kadar indeks jenayah negara turun 1.1%

Tetapi, jenayah siber menunjukkan peningkatan kes membabitkan mangsa antaranya ahli perniagaan, kakitangan kerajaan dan swasta, pelajar, wanita dan individu tiada pekerjaan.

Timbalan Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (Perancangan Strategik) Bukit Aman, K Kumaran berkata ini menunjukkan polis berjaya mengekalkan keselamatan negara di tahap baik. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kadar indeks jenayah seluruh negara turun 1.1%, apabila 25,482 kes direkodkan bagi Januari hingga Jun tahun ini berbanding 25,774 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Timbalan Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (Perancangan Strategik) Bukit Aman, K Kumaran berkata ini sekali gus menunjukkan polis berjaya mengekalkan keselamatan negara di tahap baik.

Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak 16,518 kes sudah diselesaikan bersamaan 64.8% berbanding kadar kes ditetapkan pada 45%.

“Ini menunjukkan dalam setiap 10 kes, enam hingga tujuh kes berjaya diselesaikan.

“Walaupun indeks jenayah menunjukkan penurunan setiap tahun, kita tidak seharusnya leka, sebaliknya harus berusaha lebih gigih bagi memastikan jenayah terus dibendung dalam memastikan masyarakat hidup dalam keadaan aman dan damai.”

Beliau berkata demikian ketika berucap menutup Program Kesedaran Pencegahan Jenayah 2023 Anjuran Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Selangor di sini, hari ini.

Kumaran berkata, berbeza untuk jenayah siber yang menunjukkan peningkatan kes membabitkan mangsa antaranya ahli perniagaan, kakitangan kerajaan dan swasta, pelajar, wanita dan individu tiada pekerjaan.

Katanya, sebanyak 13,703 kes dicatatkan pada 2019 dan bertambah kepada 17,227 kes pada 2020 dan 20,701 kes pada 2021.

“Peningkatan kes jenayah siber ini berkait rapat situasi semasa dalam negara apabila ramai di antara kita menjadikan internet sebagai platform untuk melakukan tugasan bekerja dari rumah, pembelajaran secara maya, membeli-belah dan melakukan transaksi perbankan.”

Terdahulu, Kumaran melancarkan aplikasi SOS Fastlane bagi memudahkan orang ramai menghubungi pihak berkuasa jika berlaku sebarang kecemasan.

Hasil kerjasama Fastlane Emergency Resources Group Sdn Bhd, MCPF dan polis itu mampu memberi bantuan kecemasan 24 jam kepada orang awam dengan hanya menekan butang kecemasan dalam aplikasi itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.