Dulu anggota Geng Mamak kini aktivis masyarakat, ahli perniagaan berjaya

Dulu anggota Geng Mamak kini aktivis masyarakat, ahli perniagaan berjaya

MK Ganesan berkata beliau mencuri jutaan ringgit tetapi kehidupannya tidak pernah aman.

Bekas anggota Geng Mamak, MK Ganesan menunjukkan sijil penghargaan yang diterimanya daripada bekas ketua pengarah Jabatan Penjara Zulkifli Omar.
PETALING JAYA:
Seorang bekas anggota kumpulan penjenayah terkenal Geng Mamak MK Ganesan mengimbau kembali beliau pernah melarikan diri ke Kanada untuk mengelak daripada ditahan pihak berkuasa tetapi kembali semula ke tanah air selepas dipujuk anak perempuannya.

Ketika melarikan diri pada 1999, Ganesan, 59, berkata: “Anak perempuan saya melihat wajah saya di televisyen selepas polis melancarkan operasi memburu saya.

“Dia sebelum ini percaya saya seorang ahli perniagaan. Apabila dia mengetahui penglibatan saya, dia memujuk saya untuk pulang.

“Saya melarikan diri dan mempunyai banyak wang tetapi hati saya tidak tenang. Saya sentiasa berasa takut ditangkap sehingga tubuh saya menggigil setiap kali mendengar bunyi siren kereta polis,” katanya.

Ganesan berkata beliau akhirnya mengambil keputusan untuk berubah selepas melihat keluarga terutamanya anak perempuannya kecewa dengannya.

Selepas setahun, Ganesan mengumpul keberanian untuk pulang ke tanah air dan menyerahkan diri kepada polis. Ganesan kemudiannya dihukum penjara enam tahun sebelum dibebaskan pada 2006.

Sepanjang di penjara, Ganesan bekerjasama dengan pihak polis.

Ganesan juga memainkan peranan penting dalam memujuk banduan lain yang terbabit dalam jenayah terancang untuk berkongsi maklumat mengenai aktiviti mereka kepada pihak berkuasa.

Beliau kini aktif dalam aktiviti kemasyarakatan terutama kepada generasi muda supaya menjauhi aktiviti jenayah.

Geng Mamak terkenal pada era 90-an apabila terlibat dalam beberapa rompakan bersenjata termasuk melarikan sejumlah jongkong emas bernilai RM12 juta dari kompleks kargo di Lapangan Terbang Subang ketika Hari Merdeka pada 1994.

Hari ini, Ganesan adalah presiden badan bukan kerajaan yang mempertahankan hak bekas tahanan undang-undang Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah atau lebih dikenali sebagai Ordinan Darurat, yang dimansuhkan pada 2013.

Ganesan yang menubuhkan sebuah syarikat logistik pada 2007 kini menjalani kehidupan lebih bahagia bersama keluarga, bebas daripada sebarang rahsia. Katanya, dia bersyukur akhirnya dapat menggunakan namanya untuk perniagaan yang sah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.