Belum sesuai tambah kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak, kata bekas pegawai SPR

Belum sesuai tambah kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak, kata bekas pegawai SPR

Wan Ahmad Wan Omar berkata penambahan itu perlu mengambil kira kepadatan jumlah penduduk yang rendah di sesetengah kawasan.

Richard Riot sebelum ini berkata Sabah dan Sarawak hendaklah diperuntukkan 1/3 atau 35% kerusi Parlimen bukan hanya 25% seperti sekarang.
PETALING JAYA:
Seorang bekas timbalan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berpendapat pelaksanaan 35% daripada kerusi Parlimen diperuntuk kepada Sabah dan Sarawak belum sesuai ketika ini, mengambil kira kepadatan penduduk yang rendah di sesetengah kawasan.

Wan Ahmad Wan Omar berkata, walaupun tuntutan itu termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), keadaan dan bentuk muka bumi negara pada waktu itu berbeza dengan kini.

Menurutnya, pelbagai prinsip dan justifikasi perlu diteliti sebaik-baiknya ketika menentukan penambahan kawasan bahagian pilihan raya memandangkan taburan pengundi di seluruh negara yang tidak seragam.

“Kawasan di negara kita muka buminya berbeza antara luar bandar, semi bandar dan bandar. Kalau di bandar, kawasan Parlimennya kecil tetapi boleh sampai 100,000 pengundi. Kawasan seperti Gua Musang dan Pekan di Semenanjung besar tetapi pengundi mungkin sekitar 40,000 sahaja.

“Begitu juga di Sabah dan Sarawak, banyak kawasan hutan sahaja tanpa penduduk. Takkan kita nak bagi 35% jumlah kawasan itu sekadar nak pecah-pecah cukupkan peratus tambahan kawasan? Tak munasabah juga kalau kawasan itu pengundi hanya ada 5,000 orang sahaja,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, keputusan bagi penambahan kawasan Parlimen negeri tertentu juga perlu dilihat dari segi realiti kerana ia melibatkan peruntukan kewangan mahupun bajet yang besar.

“Kalau nak menambah kawasan Sabah dan Sarawak memerlukan 35% bermakna berapa banyak kawasan? Nak datang duit dari mana untuk menampung keperluan Parlimen itu.

“Ini semua perlu mengambil kira, dirundingkan dan dibawa ke Parlimen tentang logik dan justifikasinya,” katanya.

Khamis lalu, Ahli Parlimen Serian Richard Riot menggesa dua negeri di Malaysia Timur diperuntukkan 35% daripada keseluruhan kerusi Parlimen, menjelang PRU16.

Perkara itu terkandung dalam laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1962.

Katanya dua negeri itu hendaklah diperuntukkan 1/3 atau 35%, bukan hanya 25% daripada 222 kerusi Parlimen seperti sekarang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.