50 tan bantuan kemanusiaan RM7 juta sedia dihantar ke Gaza

50 tan bantuan kemanusiaan RM7 juta sedia dihantar ke Gaza

Barangan bantuan kemanusiaan itu dikumpul melalui kempen Ops Ihsan oleh lebih 40 NGO tempatan pada 21 dan 22 Okt lalu.

Sebahagian barangan yang akan dihantar untuk membantu rakyat Palestin terjejas di Gaza. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Sejumlah 50 tan barangan utama bantuan kemanusiaan bernilai RM7 juta untuk rakyat Palestin di Gaza siap sedia untuk dihantar ke Gaza melalui Mesir.

Kementerian Luar Negeri (KLN) dalam kenyataan berkata barangan ini dikumpul melalui kempen Ops Ihsan oleh lebih 40 badan bukan kerajaan (NGO) tempatan pada 21 dan 22 Okt lalu.

“Penghantaran pertama barangan kemanusiaan ini ke Lapangan Terbang Antarabangsa Al Arish melalui penerbangan kargo sewaan khas dijadualkan pada 3 Nov atas pembiayaan kerajaan Malaysia.”

Penghantaran seterusnya melalui laut akan digerakkan sebaik mendapat butiran terkini dari lapangan oleh pasukan Ops Ihsan ke bandar Ismaliyah, Mesir dalam masa terdekat.

Sebelum ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kutipan menerusi Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) yang diselia KLN bagi membantu rakyat Palestin akibat konflik terbaharu melanda Semenanjung Gaza berjumlah RM81 juta.

Menurut KLN penerimaan sumbangan ini ke akaun dalam proses dan RM23 juta sudah dimasukkan ke akaun itu, sehingga hari ini.

Katanya jumlah itu termasuk dana diterima daripada syarikat korporat yang menjanjikan sumbangan sewaktu Majlis Penyampaian Sumbangan Tabung AAKRP di Sri Perdana pada 19 Okt lalu.

Berikutan jumlah sumbangan tinggi masuk ke akaun AAKRP, pengeluaran resit rasmi sumbangan melalui AAKRP akan mengambil sedikit masa.

Sumbangan tunai boleh disalur melalui AAKRP melalui pautan https://shorturl.at/begq8.

Sumbangan melalui AAKRP layak dituntut sebagai potongan cukai pendapatan bawah Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.