2 pasangan, orang tengah ditahan berkait laporan palsu jual bayi

2 pasangan, orang tengah ditahan berkait laporan palsu jual bayi

Polis berkata, siasatan mendapati laporan dibuat suami isteri itu palsu, sebaliknya mereka mendapatkan bayi terbabit daripada orang tengah dengan sejumlah bayaran.

Polis berkata, ibu bapa bayi itu menyerahkannya kepada pihak ketiga untuk dijaga kerana malu dan takut diketahui keluarga bahawa anak mereka dilahirkan sebulan selepas berkahwin.
PETALING JAYA:
Dua pasang suami isteri antara lima ditahan berhubung laporan palsu penemuan bayi dan penjualan bayi kepada pihak ketiga.

Ketua Polis Machang, Mohd Adli Mat Daud, berkata pihaknya pada mula menerima laporan daripada sepasang suami isteri berusia 40 dan 43 tahun tahun mengenai penemuan seorang bayi perempuan berusia 14 hari dalam beg pada Selasa lalu.

Katanya, mereka mendakwa bayi itu ditemui bersama nota tulisan tangan pengakuan penyerahan anak secara sukarela tanpa nama penulis dan sehelai borang kelahiran tidak lengkap Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu.

“Siasatan telah dijalankan dan maklumat ibu bayi dikenal pasti. Tangkapan awal kedua ibu bapa bayi berumur 24 dan 26 tahun dibuat Rabu lalu.

“Siasatan mendapati laporan awal dibuat suami isteri tersebut palsu, hasil siasatan mendapati mereka mendapatkan bayi tersebut dari orang tengah dengan sejumlah bayaran,” katanya menurut Bernama.

Beliau berkata, bayi itu dilahirkan di HSNZ pada 5 Okt lalu.

“Disebabkan malu dan takut diketahui keluarga kerana bayi dilahirkan sebulan selepas berkahwin, ibu bapa bayi tersebut serahkan kepada pihak kedua untuk dijaga.

“Susulan itu, polis menahan seorang lelaki berusia 43 tahun yang bertindak sebagai orang tengah. Polis juga sedang mengesan rakan suspek itu bagi membantu siasatan.”

Katanya, lima suspek direman empat hari hingga esok dan lanjutan reman akan dimohon bagi melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 182 dan 317 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.