
PETALING JAYA: Menteri Sumber Manusia V Sivakumar dipanggil Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada Isnin, kata sumber.
Menurutnya, Sivakumar dipanggil bagi menjawab inkuiri PAC berkait pengurusan dan kewangan Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp).
Katanya, seorang lagi individu yang juga wakil Kementerian Kewangan turut dipanggil pada hari sama.
Minggu lalu, Pengerusi PAC Mas Ermieyati Samsudin, berkata jawatankuasa itu akan memulakan prosiding melibatkan program latihan dan pengurusan dana HRD Corp.
Beliau berkata, walaupun isu terlibat tidak dilapor dalam Laporan Audit Negara 2022, namun PAC boleh menggunakan kuasanya mengikut Peraturan Tetap Dewan Rakyat untuk siasatan.