Dasar ‘hanya BM’ perlu selaras negeri Borneo, kata bekas KM Sabah

Dasar ‘hanya BM’ perlu selaras negeri Borneo, kata bekas KM Sabah

Penyelarasan penting bagi memastikan dasar itu dapat dilaksanakan dengan lancar untuk kebaikan bersama, kata Salleh Said Keruak.

Sekalipun pemerkasaan BM dialu-alukan, kepentingan menguasai BI tidak boleh dipertikai, kata Salleh Said Keruak. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sebarang dasar yang mensyaratkan penggunaan bahasa Melayu (BM) dalam urusan surat-menyurat rasmi “sebaik-baiknya” harus diselaraskan dengan kerajaan Sabah dan Sarawak, menurut bekas ketua menteri Sabah Salleh Said Keruak.

Salleh berkata, penyelarasan sedemikian penting agar sesuatu dasar dapat dilaksanakan dengan lancar untuk kebaikan bersama.

“Tidak dinafikan bahawa BM bahasa kebangsaan negara ini dan kami alu-alukan dasar ini, tetapi kepentingan menguasai bahasa Inggeris (BI) tidak boleh dipertikai,” katanya pada majlis penyampaian anugerah pelajar 2023 SMK Pekan di Kota Belud hari ini.

“Hal ini kerana BI, sebagai bahasa antarabangsa, digunakan secara meluas dan perlu dikuasai, terutamanya oleh penjawat awam yang berurusan dengan negara asing dan pelajar yang akan meneroka bidang ilmu dalam pendidikan, kemudian menggunapakainya dalam dunia kerja.”

Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengingatkan syarikat dan universiti tempatan agar menggunakan BM apabila berurusan dengan agensi kerajaan, dengan menegaskan bahawa wujud sikap “terlajak” atau “terpesong” berhubung komitmen memartabatkan bahasa tersebut sebagai bahasa kebangsaan.

Katanya lagi, surat yang diutus mana-mana pihak dalam bahasa selain bahasa kebangsaan “akan dipulangkan”.

Justeru, Setiausaha Kerajaan Sarawak Abu Bakar Marzuki dalam responsnya berkata, negeri itu tidak berhasrat mematuhi arahan perdana menteri dan akan terus menerima urusan surat-menyurat dengan syarikat tempatan atau institusi awam dan swasta dalam bahasa Inggeris.

Ini bukan kali pertama Sarawak mengambil pendirian yang bercanggah dengan kerajaan persekutuan dalam hal dasar berkaitan bahasa.

Pada Jun tahun lepas, Premier Sarawak Abang Johari Openg berkata, perkhidmatan awam negeri akan terus menggunakan BI sebagai bahasa rasmi di samping bahasa kebangsaan.

Komennya itu sebagai respons kepada kenyataan Ketua Setiausaha Negara Zuki Ali pada 24 Mei meminta Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengkaji tindakan yang boleh diambil terhadap pihak yang tidak mengendahkan arahan memperkasakan bahasa kebangsaan

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.