Percepat projek infrastruktur negeri, pindah milik tanah, gesa PM

Percepat projek infrastruktur negeri, pindah milik tanah, gesa PM

Anwar Ibrahim turut menggesa agar perancangan dan pembangunan koridor mengambil kira perancangan dan potensi pembangunan dengan negara jiran.

Anwar Ibrahim berkata, selaras dengan agenda Ekonomi Madani, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan rasionalisasi agensi galakan pelaburan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa penting untuk projek-projek pembangunan dan infrastruktur di negeri-negeri dipercepat, termasuk mempermudah proses-proses terlibat antara kerajaan persekutuan dan negeri seperti pindah milik pemilikan tanah.

“Selain itu, perancangan dan pembangunan koridor juga perlu mengambil kira perancangan dan potensi pembangunan dengan negara-negara jiran,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara, Pihak Berkuasa Wilayah Iskandar dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur semalam.

Mesyuarat itu dihadiri oleh semua menteri besar dan ketua menteri selain wakil kerajaan persekutuan dan negeri serta pihak industri.

Anwar yang juga menteri kewangan berkata, selaras dengan agenda Ekonomi Madani untuk menstrukturkan semula ekonomi negara, kerajaan juga memutuskan untuk melaksanakan rasionalisasi agensi galakan pelaburan.

“Aktiviti promosi dan kelulusan insentif pelaburan akan dipusatkan kepada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) melalui Lembaga Pembangunan Industri Malaysia (Mida).

“Pihak berkuasa koridor pula akan menumpukan peranan untuk menyokong pelaksanaan/merealisasikan pelaburan,” katanya menerusi catatan di X.

Mesyuarat berkenaan turut membincangkan status pelaburan masuk dan pembangunan infrastruktur terkait dengan setiap koridor.

Anwar turut berkongsi pencapaian yang menyaksikan sejumlah RM185 bilion pelaburan kumulatif dicatatkan oleh Wilayah Ekonomi Koridor Utara bagi 2022, melebihi sasaran RM146.5 bilion bagi tempoh 2021 hingga 2025.

Selain itu, Iskandar Malaysia mencatat pelaburan komited berjumlah RM409.5 bilion berbanding sasaran RM383 bilion untuk dicapai sehingga 2025.

“Wilayah Ekonomi Pantai Timur pula telah menerima pelaburan komited berjumlah RM164.7 bilion,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.