PAS anggap dakwaan Anwar diugut ‘lucu’, kenyataan ‘alarmist’

PAS anggap dakwaan Anwar diugut ‘lucu’, kenyataan ‘alarmist’

PAS berkata kenyataan 'alarmist' itu bertujuan menonjolkan 'kehebatan dan kepentingan' perdana menteri.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim mendedahkan menerima ‘ugutan’ ketika berucap pada Himpunan Malaysia bersama Palestin di Axiata Arena, Bukit Jalil, 24 Okt lalu.
PETALING JAYA:
PAS menyifatkan dakwaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bahawa beliau menerima “ugutan” susulan kritikan terhadap Israel mengenai serangan di Gaza sebagai “pelik malah melucukan”.

Setiausaha Agung, Takiyuddin Hassan, berkata kenyataan “alarmist” itu bertujuan menonjolkan “kehebatan dan kepentingan” Anwar, walaupun pentadbirannya masih terkial-kial untuk mendapatkan sokongan dan kepercayaan awam.

“Lebih malang lagi, dakwaan itu dibuat dalam acara yang sepatutnya didedikasikan sepenuhnya kepada perjuangan rakyat Palestin, bukan menunggangnya untuk menunjukkan kehebatan seseorang pemimpin.

“Selain itu ia juga boleh pula menimbulkan imej tidak positif terhadap negara kerana perdana menteri membuat dakwaan rambang dan khayalan sedemikian,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Anwar mendakwa “ugutan” diterimanya itu adalah dalam bentuk “kenyataan” oleh Ahli Parlimen Eropah.

Bagaimanapun, beliau tidak akan menghiraukan ugutan itu dan akan terus bekerja.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata jika ancaman itu benar-benar berlaku, kerajaan perlu memanggil duta atau wakil negara terbabit bagi menyampaikan bantahan..

“Bukan membuat kenyataan terbuka tanpa penjelasan mengenainya,” katanya.

Anwar mendedahkan menerima “ugutan” itu ketika berucap pada Himpunan Malaysia bersama Palestin di Axiata Arena, Bukit Jalil, 24 Okt lalu.

Ketika mendedahkan perkara itu, Anwar berkata selagi diberi mandat dan kepercayaan oleh rakyat, beliau selaku ketua kerajaan tidak akan tunduk dan gentar sebarang ugutan.

Katanya, sebagai negara bebas Malaysia tidak akan berhenti memperjuangkan nasib rakyat Palestin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.