
Pengerusi PAC Mas Ermieyati Samsudin berkata, susulan prosiding pada Isnin, jawatankuasa itu akan mengadakan dua lagi prosiding, iaitu pada 1 dan 2 Nov.
Katanya, wakil Kementerian Kewangan di HRD Corp dijangka memberikan keterangan pada 1 Nov dan Sivakumar akan dipanggil pada 2 Nov.
“Keputusan memanggil kedua-dua saksi ini adalah disebabkan nama mereka disebut dalam prosiding pertama dan untuk berlaku adil kepada mereka,” kata Mas pada sidang media di bangunan Parlimen hari ini.
“Sehubungan itu, saya mohon supaya saksi-saksi berkenaan hadir bagi membantu PAC melengkapkan siasatan berhubung perkara ini.”
Minggu lepas, Mas Ermieyati berkata, PAC akan memulakan prosiding berhubung program latihan dan pengurusan dana HRD Corp pada Isnin.
Beliau berkata, walaupun isu itu tidak dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2022, PAC boleh menggunakan kuasanya bawah Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat 77(1)(d) untuk menyiasat perkara itu.
Berhubung perkembangan lain, Mas Ermieyati berkata, jawatankuasa itu sedang memuktamadkan laporannya mengenai kemajuan projek kapal tempur pesisir (LCS) tentera laut bagi tempoh Jun hingga September.
“Kita jangkakan laporan ini akan dapat dibentangkan dalam mesyuarat (Parlimen) kali ini,” katanya.