Import getah demi tampung permintaan industri, kata Fadillah

Import getah demi tampung permintaan industri, kata Fadillah

Menteri perladangan dan komoditi berkata negara terus mengimport getah bagi sektor pembuatan produk berasas lateks.

Fadillah Yusof berkata pengeluaran lateks negara berjumlah 14,593 tan, berbanding sektor pembuatan produk getah memerlukan 365,000 tan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Malaysia masih mengimport getah dari negara pengeluar lain berikutan pengeluaran tempatan lebih rendah berbanding permintaan industri, kata Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof.

Beliau yang juga menteri perladangan dan komoditi berkata, tindakan import getah dari negara lain juga bagi memenuhi keperluan permintaan domestik terutama bagi sektor pembuatan produk getah berasaskan lateks.

“Pada 2022, pengeluaran lateks negara hanya berjumlah 14,593 tan, sedangkan sektor pembuatan produk getah memerlukan 365,000 tan.

“Memenuhi permintaan pasaran eksport terutama getah kering. Pada 2022, negara mengeluarkan getah sekerap sebanyak 362,000 tan, namun permintaan eksport getah kering berjumlah hampir 1 juta tan,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab pertanyaan Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) yang meminta kerajaan menjelaskan mengapa masih mengekalkan import getah dari Thailand, Vietnam, dan Afrika.

Dalam pada itu, Fadillah berkata sektor pemprosesan getah asli negara dengan anggaran kapasiti pengeluaran sebanyak 1.5 juta tan memerlukan bahan mentah bagi meneruskan operasi dan kekal berdaya saing.

Beliau berkata, bagi 2022 pengeluaran lateks negara hanya dapat menampung sekitar 4% jumlah penggunaan domestik.

“Meskipun pengeluaran lateks negara rendah, namun eksport bagi produk hiliran berasaskan lateks seperti sarung tangan getah adalah tinggi dengan jumlah sebanyak RM21.302 billion bagi 2022, iaitu 78% daripada jumlah eksport produk getah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.