Bentuk kaukus satukan pemimpin Sabah majukan negeri, gesa penganalisis

Bentuk kaukus satukan pemimpin Sabah majukan negeri, gesa penganalisis

Mujibu Muis berkata pemimpin di Sabah dilihat tidak 'bersama' dalam memperjuangkan hak negeri berbanding Sarawak yang dilihat kukuh.

Lebuhraya Pan Borneo di Sabah hanya akan siap empat tahun lagi berbanding di Sarawak pada penghujung tahun, menunjukkan negeri itu ketinggalan dari pembangunan infrastruktur. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang penganalisis mencadangkan semua parti politik di Sabah membentuk satu kaukus blok untuk menguatkan perjuangan menuntut pembangunan yang ketinggalan di negeri bawah bayu itu.

Mujibu Muis dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata ini kerana kepimpinan di Sabah dilihat tidak “bersama” dalam memperjuangkan hak-hak Sabah berbanding Sarawak yang lebih kukuh dan bersatu walaupun berbeza latar politik.

Beliau tidak menolak negeri itu masih bergelut dengan kemunduran akibat sikap pemimpinnya sering berbalah antara satu sama lain yang memuncak sejak PRU2018 menyaksikan perubahan kerajaan sebanyak dua kali.

“Perlu ada semangat bersatu dan berjiwa besar membentuk satu kaukus blok Sabah yang kuat di sebalik perbezaan parti untuk menekan dan berunding dengan Putrajaya seperti Sarawak,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas teguran Ahli Parlimen Kota Belud Isnaraissah Munirah Majilis yang meminta wakil rakyat dari Sabah tidak terus menyalahkan Putrajaya, apabila negeri itu masih ketinggalan dari segi pembangunan infrastruktur khususnya jalan raya, air dan elektrik.

Pemimpin Warisan itu berkata pemimpin negeri itu harus mencontohi pentadbiran wilayah Sarawak, yang lebih maju dalam pelbagai sektor termasuk jaringan Lebuhraya Pan Borneo yang dijangka siap sepenuhnya pada akhir tahun ini, berbanding empat tahun lagi di Sabah.

Sementara itu, Lee Kuok Tiung daripada Universiti Malaysia Sabah berpendapat kemarahan rakyat Sabah terhadap ketidakadilan dalam penyaluran peruntukan daripada pemerintah adalah wajar, memandangkan negeri itu antara penyumbang utama hasil kepada persekutuan.

“Duit yang diturunkan kepada Sabah dan Sarawak adalah terhad sedangkan sebahagian besar hasil minyak dan gas negara adalah dari kedua-dua wilayah Borneo.

“Jadi, jikalau bukan marah ‘Malaya’ yang merupakan ibu kota pentadbiran kerajaan persekutuan nak marah siapa lagi?,” katanya.

Beliau mencadangkan pemerintah membenarkan Sabah mengutip hasil cukai seperti minyak dan gas asli, cukai pelancongannya sendiri, sebelum diserahkan kepada persekutuan mengikut pecahan wajar bagi kedua-dua pihak.

“Lepas Sabah kutip baru bayar kepada akaun kerajaan persekutuan, barangkali melalui kaedah tersebut lebih banyak duit berada di Sabah dan tidak perlu menunggu duit diturunkan dari Putrajaya,” katanya.

Selain Barisan Nasional (BN), Warisan, Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat Malaysia (KDM), gabungan parti utama di Sabah turut membabitkan Gagasan Rakyat Sabah (GRS).

Gabungan pemerintah Sabah itu dianggotai Gagasan Rakyat; Parti Bersatu Sabah (PBS), Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP); Parti Liberal Demokratik (LDP), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) dan Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS).

Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) pula bergabung di bawah Pakatan Harapan bersama dua parti dari Semenanjung iaitu PKR dan DAP.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.