Tak cukup korum, sidang Dewan Rakyat terhenti 5 minit

Tak cukup korum, sidang Dewan Rakyat terhenti 5 minit

Semasa sesi perbahasan Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat), Ahli Parlimen yang berada dalam Dewan hanya 18 orang termasuk tujuh wakil blok kerajaan.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung semula kira-kira 1.35 tengah hari selepas bilangan Ahli Parlimen mencukupi. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Sidang Dewan Rakyat yang berlangsung tanpa rehat tengah hari ini terhenti hampir lima minit apabila jumlah Ahli Parlimen tidak mencukupi korum ditetapkan.

Perkara itu berlaku ketika sesi perbahasan Belanjawan 2024 oleh Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat).

Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) bangun mencelah dengan membacakan Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat 13(1) berhubung cukup bilang bagi (korum) majlis mesyuarat.

Mengikut peraturan itu, persidangan Dewan Rakyat perlu dihadiri sekurang-kurangnya 26 Ahli Parlimen, tidak termasuk speaker.

Misbahul ketika mencelah berkata Ahli Parlimen yang berada dalam Dewan hanya 18 orang termasuk tujuh daripada blok kerajaan.

Bagaimanapun, Chong Chieng Jen (PH-Stampin) bangun menjelaskan majoriti Ahli Parlimen sedang menghadiri taklimat diadakan oleh Kementerian Pendidikan (KPM).

Timbalan Speaker Alice Lau kemudian mengarahkan loceng dibunyikan bagi memanggil Ahli Parlimen masuk ke dalam Dewan.

Persidangan kemudian bersambung semula kira-kira 1.35 tengah hari selepas bilangan Ahli Parlimen mencukupi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.