
Ketua Polis Negara Razarudin Husain baru-baru ini dipetik Berita Harian menggesa Poca dikuatkuasakan kembali bagi membolehkan polis menangani aktiviti jenayah seperti itu, termasuk perjudian dalam talian, dengan lebih berkesan.
Penganalisis jenayah Mizan Aslam berkata, kuasa polis dipertingkatkan dalam Poca penting disebabkan kesukaran yang timbul akibat operasi rentas sempadan rangkaian jenayah, serta eksploitasi teknologi.
“Polis (selalunya) memerlukan masa untuk (menyiasat) hubungan dan rangkaian jenayah. Segelintir dalang beroperasi di luar negara.
“Sukar untuk polis memperoleh semua maklumat diperlukan daripada suspek dalam tempoh suntuk, contohnya 24 jam,” katanya kepada FMT.
Mizan yang juga anggota panel program deradikalisasi kementerian dalam negeri berkata, dengan jenayah rentas sempadan semakin meningkat dalam era digital, lebih banyak masa diperlukan bagi membolehkan polis menyiasat suspek dengan lebih berkesan serta mendapat bantuan rakan sejawat di luar negara.
“Penyelesaiannya adalah Poca,” katanya.
Seorang lagi penganalisis jenayah, Shankar Durairaja berkata, siasatan jenayah siber sukar dilaksanakan.
“Semua bukti yang adalah secara digital. Ini mengambil masa untuk menganalisis dan mengenal pasti perkara tertentu, contohnya alamat IP, lokasi dan suspek.
“Ketika tempoh siasatan, suspek mungkin melarikan diri. Bagi mengelak ini berlaku, mereka perlu ditahan terlebih dulu, kata pakar kriminologi kolej UniKop itu.
Poca membenarkan penahanan tanpa perbicaraan bagi suspek yang disyaki mempunyai kaitan dengan organisasi jenayah sehingga 59 hari.
Mengikut Seksyen 4(1)(a) Poca, seseorang boleh direman pada awalnya sehingga 21 hari. Tempoh reman boleh dilanjutkan sehingga 38 hari mengikut Seksyen 4(2)(a).
Bagaimanapun, undang-undang itu mendapat tentangan hebat kumpulan hak sivil kerana dilihat melanggar hak asasi dan boleh disalahgunakan pihak berkuasa.
Pada April tahun lalu, Mahkamah Persekutuan memutuskan Seksyen 4 dan 15B akta itu bertentangan dengan Perlembagaan kerana melanggar doktrin pengasingan kuasa apabila mengganggu kuasa kehakiman.
Seksyen 15B mengecualikan kuasa hakim daripada meneliti alasan penahanan seseorang tahanan.