Libas polis dengan kapak, penoreh getah dipenjara 8 tahun

Libas polis dengan kapak, penoreh getah dipenjara 8 tahun

Mohamad Saidi Che Omar, 31, mengaku bersalah atas tuduhan cubaan membunuh bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Mahkamah memerintahkan Mohamad Saidi Che Omar menjalani hukuman penjara lapan tahun dari tarikh ditangkap serta denda RM3,000. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Seorang penoreh getah dihukum penjara lapan tahun oleh Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar hari ini atas tuduhan cubaan membunuh seorang anggota polis menggunakan kapak minggu lepas.

Hakim Rohaida Ishak menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamad Saidi Che Omar, 31, yang mengaku bersalah atas tuduhan bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan, lapor Sinar Harian.

Menurut seksyen itu, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara hingga 10 tahun serta denda. Jika perbuatan itu menyebabkan kecederaan kepada seseorang, pesalah turut boleh dihukum bawah kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara lapan tahun dari tarikh ditangkap serta denda RM3,000. Sekiranya gagal membayar denda, hukuman tambahan lima bulan penjara dikenakan.

Mohamad Saidi didakwa cuba membunuh Reymee Abdul Rahman, 38, dengan cara melibas sebilah kapak ke bahagian kepala dan lengannya di sebuah kebun kelapa sawit di Felda Bersia, Gerik sekitar 11.30 pagi pada 17 Okt.

Terdahulu, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili Mohamad Saidi, Hennie Soraya Hanafi, merayu hukuman penjara paling singkat kerana anak guamnya perlu menyara anak yang masih bersekolah, selain masih menanggung ibu bapa dan adik.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Firdaus Nor Azlan memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal mengambil kira perbuatan tersebut boleh menyebabkan kematian.

Kejadian dilaporkan berlaku sewaktu anggota polis berpangkat koperal itu bersama seorang lagi rakan berpangkat lans koperal menjalankan tugas risikan Op Tapis di kebun kelapa sawit berkenaan dengan menaiki motosikal.

Semasa berselisih dengan tertuduh, anggota berkenaan memperkenalkan diri untuk memeriksa tertuduh. Bagaimanapun tertuduh menyerang anggota berkenaan dengan sebilah kapak dan parang.

Anggota berkenaan melepaskan dua das tembakan yang mengenai lutut kanan tertuduh.

Pemeriksaan terhadap tertuduh kemudiannya menemui dadah jenis methamphetamine serta ganja di dalam poket seluarnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.