Kelapa, durian diletakkan bawah Lembaga Perindustrian Nanas, kata Mat Sabu

Kelapa, durian diletakkan bawah Lembaga Perindustrian Nanas, kata Mat Sabu

Menteri pertanian dan keterjaminan makanan berkata ia bertujuan untuk mengetengahkan komoditi bernilai tinggi itu dan meningkatkan prestasi eksport.

Mohamad Sabu berkata kerajaan akan memperluas skop Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) kepada komoditi bernilai tinggi seperti kelapa dan durian. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Skop Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) akan diperluaskan untuk mengetengahkan komoditi bernilai tinggi seperti kelapa dan durian, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Mohamad Sabu.

Beliau berkata langkah itu dijangka membantu mengurangkan defisit perdagangan di samping memperkukuh aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi variasi benih penanaman dalam negara.

“Ia juga akan meningkatkan prestasi eksport produk hiliran berasaskan pertanian dan merancakkan aktiviti pengeluaran makanan secara domestik,” kata Mohamad, dalam satu kenyataan malam tadi.

Katanya, perkara itu diputuskan dalam Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara (JKSMN) yang turut dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof, hari ini.

Mohamad berkata mesyuarat terbabit turut memberi tumpuan dalam memperkasakan sekuriti makanan negara menerusi pelaksanaan inisiatif berimpak tinggi.

“Antaranya seperti pelaksanaan projek industri tenusu negara melalui projek pembangunan ladang tenusu integrasi di Chuping, Perlis serta cadangan pelaksanaan pembajaan dan pembekalan baja bio dan organik bagi meningkatkan hasil pengeluaran padi.

“Kerajaan sedang berusaha untuk melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan produktiviti sektor agromakanan khususnya dalam bidang teknologi, pemodenan, rantaian nilai agromakanan.

“Antaranya menerusi strategi pembangunan industri nanas dengan penyusunan semula sistem galakan pasaran eksport sedia ada untuk memupuk kecekapan dan daya saing yang lebih tinggi,” katanya lagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.