Agensi tunggal sempadan: Warga KDN diminta siap sedia

Agensi tunggal sempadan: Warga KDN diminta siap sedia

Menteri dalam negeri berkata penubuhan itu akan dimuktamadkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Jemaah Menteri.

Saifuddin Nasution Ismail berkata kepentingan keselamatan adalah sangat besar dalam aspek kawalan sempadan dan pintu masuk negara. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Kerajaan akan memuktamadkan penubuhan agensi tunggal sempadan negara dalam masa terdekat, kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata, penubuhan itu akan dimuktamadkan dalam mesyuarat bersama Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Jemaah Menteri.

“Akan dibincangkan dalam masa terdekat. Mana-mana negara di dunia tentu ada kepentingan keselamatan yang lebih berat,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Sambutan Jubli Intan Jabatan Pendaftaran Negara.

Pada 13 Okt lalu Anwar berkata agensi tunggal sempadan negara akan ditubuhkan.

Perdana menteri berkata penubuhan agensi itu sebahagian inisiatif memperkukuh tahap kesiapsiagaan pertahanan dan keselamatan negara.

Katanya, sejumlah RM19.7 bilion diperuntukkan untuk Kementerian Pertahanan (Mindef) dalam Belanjawan 2024, meningkat berbanding RM2 bilion pada belanjawan lalu.

Dalam pada itu, Saifuddin menggesa warga Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersiap sedia dengan keputusan akan dibuat kerajaan berhubung penubuhan agensi tunggal sempadan negara atau single border agency (SBA) tersebut.

“Andai kata dalam masa terdekat ini sesuatu keputusan dibuat sudah tentu akan dihebahkan pada rakan media.

“Tetapi saya minta warga KDN siap-siaga dengan asas bahawa dengan mana-mana negara dunia, kepentingan keselamatan itu adalah sangat besar dalam aspek kawalan sempadan dan pintu masuk,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.