
Beliau yang membuat kunjungan hormat kepada Ahmed di Al-Azhar semalam berkata masalah 60 pelajar berkenaan timbul, apabila mereka datang untuk belajar di universiti itu tanpa mengikut prosedur ditetapkan universiti berkenaan, sehingga menyebabkan mereka ‘terkandas’ di Mesir.
“Jalur (saluran) yang ditetapkan oleh Universiti Al-Azhar ialah semua itu melalui proses kedutaan. Oleh kerana tidak diikuti, 60 pelajar itu tersangkut.
“Bagaimanapun, saya mengemukakan rayuan dan Sheikh Al-Azhar bersetuju supaya 60 anak-anak Pahang itu diurus sesegera mungkin, dan rektor Universiti Al-Azhar tadi telah memberi jaminan.
“Tetapi saya juga telah beri jaminan kepada mereka (Sheikh Al-Azhar) bahawa hal sebegini tidak akan berlaku lagi, insya-Allah, semua negeri diharap mematuhi peraturan sedia ada kerana ini syarat yang ditetapkan kerajaan Mesir dan Universiti Al-Azhar, Alhamdulillah selesai,” katanya.
Terdahulu, Anwar melakukan kunjungan hormat ke atas Ahmed dan ketibaan beliau di Al-Azhar disambut oleh Timbalan Sheikh Al-Azhar Muhammad Abdur-Rahman Al-Duwini.
Sementara itu, perdana menteri berkata Sheikh Al-Azhar itu bersetuju untuk membuat kunjungan rasmi ke Malaysia, pada suku pertama tahun depan.
“Kunjungan beliau itu akan kita manfaatkan dengan penganjuran sidang Islam serantau, supaya kita mendapat manfaat daripada kehadiran dan gagasan beliau,” katanya.
Anwar berkata Malaysia bersama Al-Azhar, akan mengambil inisiatif untuk menganjurkan persidangan itu dan menugaskan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk menyelaraskan penganjurannya.