
Brian Bouffard memberitahu FMT, anak guamnya dan Farik mencapai persetujuan untuk membuat pengakuan tersebut dan hukuman dijadual dijatuhkan pada Januari tahun depan.
“Nazir akan mengaku bersalah terhadap pendakwaan ke atasnya, Farik dan Hambali (warga Indonesia juga dikenali sebagai Encep Nurjaman).
“Hukuman dijadualkan dijatuhkan antara 15 Jan hingga 2 Feb tahun depan.
“Nazir bukan lagi orang yang sama seperti 20 tahun lalu,” katanya dalam e-mel.

Bouffard turut mengesahkan kes membabitkan Farik, 48, dan Nazir, 46, diasingkan daripada kes Hambali, yang akan melalui perbicaraan.
Kedua-dua rakyat Malaysia itu, bersama Hambali yang dikatakan menjadi dalang serangan berkenaan, ditahan dalam kurungan bersendirian sejak ditangkap di Thailand pada 2003.
Mereka ditahan di penjara rahsia CIA dan dipindahkan ke Teluk Guantanamo, Cuba, tiga tahun kemudian.
Mereka pertama kali didakwa pada 2018 atas sembilan kesalahan dikaitkan dengan peranan dalam pengeboman kelab malam di Bali pada 2002 yang mengorbankan 202 orang, serta pengeboman Hotel Marriott di Jakarta pada 2003 yang meragut 11 nyawa.
Ketiga-tiga mereka didakwa atas tuduhan konspirasi; cubaan bunuh; bunuh; dengan sengaja menyebabkan kecederaan badan yang serius; keganasan; memusnahkan harta-benda; serta menyerang orang dan objek awam. Hukuman maksimum dalam kes itu ialah penjara seumur hidup.
Bagaimanapun, perbicaraan itu ditangguhkan beberapa kali selepas ketiga-tiga tahanan enggan membuat pengakuan, dengan alasan berlaku berat sebelah dan jurubahasa Melayu dan Indonesia lantikan kerajaan tidak cekap.
Minggu lalu, New York Times melaporkan hanya Hambali akan dibicarakan atas kesalahan tersebut.
Tambahnya, pihak tentera mendedahkan kewujudan perjanjian itu menerusi pengeluaran pemfailan mahkamah oleh pendakwa raya dan peguam Nazir dan Farik.
Menurutnya, terma perjanjian pengakuan itu, termasuk sebarang had hukuman penjara mereka, adalah rahsia.
Laporan itu menambah diplomat Malaysia mengunjungi Teluk Guantánamo bulan lalu, memetik pegawai AS dan laporan berita tempatan.