
Katanya, walaupun pembinaan itu dibuat atas tanah persendirian, ia masih tertakluk kepada peruntukan undang-undang.
“Ingin ditegaskan pembinaan plaza tol itu tidak ada kena mengena dengan LLM dan LLM juga tidak pernah menerima apa-apa permohonan berkaitan pembinaan itu,” katanya menurut Berita Harian.
Beliau berkata, arahan pemberhentian kerja pembinaan daripada kerajaan Pahang adalah hak dan bawah bidang kuasa mereka.
Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu berkata, jika pihak berkenaan mahu meneruskan kerja pembinaan, mereka perlu memohon mengikut prosedur ditetapkan.
Baru-baru ini, tular gambar pemasangan sebuah struktur di Jalan Batang Kali-Gohtong Jaya, sekali gus mendapat perhatian warganet yang membuat spekulasi berkemungkinan plaza tol bakal dibangunkan di situ.
Memetik laporan Sin Chew Daily, jurucakap Lingkaran Cekap Sdn Bhd mengesahkan pelaksanaan tol itu.
Syarikat tersebut akan mengendalikan tol, namun pemandu hanya dikenakan bayaran semasa ke Genting Highlands dan bukan ketika menuruni kawasan tanah tinggi itu.
Bagaimanapun, jurucakap syarikat berkenaan tidak dapat mengesahkan tarikh pelaksanaan dan kadar tol akan dikenakan.
Difahamkan, syarikat itu bertanggungjawab terhadap jalan di Genting, termasuk cerun, tanah runtuh, membersihkan pokok tumbang, memotong rumput, sistem kumbahan serta lampu jalan dan menyelenggara jalan.