Majikan langgar undang-undang buruh, imigresen berdepan tindakan tegas

Majikan langgar undang-undang buruh, imigresen berdepan tindakan tegas

Menteri sumber manusia memberi respons berhubung laporan media menyatakan Malaysia menghadapi lambakan pekerja asing yang besar akibat buruh paksa sistemik.

Majikan dan agensi pekerjaan swasta yang melanggar undang-undang serta dasar dan arahan kerajaan berhubung permohonan dan pengambilan pekerja asing akan disenaraihitamkan.
KUALA LUMPUR:
Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan meningkatkan aktiviti penguatkuasaan dan mengambil tindakan tegas terhadap majikan yang gagal mematuhi undang-undang buruh dan imigresen serta sebarang aktiviti penipuan dilakukan majikan semasa Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK).

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar, berkata majikan dan agensi pekerjaan swasta yang melanggar undang-undang serta dasar dan arahan kerajaan berhubung permohonan dan pengambilan pekerja asing akan disenaraihitamkan.

“Masalah itu sedang diteliti dengan serius oleh kerajaan dan beberapa usaha telah diambil untuk menangani perkara ini.

“Kami juga membantu pekerja asing yang mengalami masalah akibat majikan menyalahgunakan RTK menerusi Program Pertukaran Majikan dan majikan baharu akan disaring oleh Jabatan Tenaga Kerja dan Jabatan Imigresen sebelum pekerja itu diserahkan kepada mereka,” katanya dalam kenyataan.

Sivakumar berkata demikian dalam respons kepada laporan media pada Khamis, menyatakan Malaysia menghadapi lambakan pekerja asing yang besar akibat buruh paksa sistemik.

Menteri itu berkata kerajaan mengkaji semula program RTK yang dihentikan sejak 18 Mac lalu dan menyedari ada majikan menyalahgunakan kelonggaran diberikan sehingga menyebabkan kuota diluluskan melebihi keperluan sebenar majikan.

“Ini tidak dinafikan telah menyebabkan ramai pekerja asing menghadapi situasi menyukarkan iaitu tidak dibayar gaji, tidak diberi pekerjaan dan tidak disediakan penginapan yang kondusif mengikut undang-undang negara.

“Kerajaan telah membuat keputusan tiada lagi kelulusan bagi kuota baharu, dan ia akan menguruskan kemasukan pekerja berdasarkan kuota yang diluluskan bagi memastikan bilangan pekerja asing di Malaysia tidak melebihi 2.4 juta menjelang 2025,” katanya.

“KSM ingin menjelaskan bahawa pengurusan pekerja asing di Malaysia adalah tertakluk kepada prinsip mengutamakan pekerja tempatan dan permintaan daripada majikan bergantung kepada keperluan sebenar mereka berdasarkan kriteria ditetapkan kerajaan mengikut sektor, katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.