
“Ramai yang cadang beberapa nama, ada yang cadang nama Dr Mahathir untuk turun bertanding, ada yang cadang Annuar Musa, ada yang cadang Che Alias (Hamid), calon kita sekarang yang telah capai majoriti 25,000 baru-baru ini.
“(Pada) PRK Kemaman, calonnya daripada PAS, insya-Allah,” kata Tuan Ibrahim dalam ceramah perdana sempena Muktamar PAS ke-69.
Sebelum ini dilaporkan bahawa PAS mengesahkan Che Alias, iaitu bekas Ahli Parlimen Kemaman, antara nama disenarai untuk sekali lagi dipertaruhkan pada PRK itu.
Bagaimanapun, parti itu belum membuat keputusan muktamad kerana perlu melalui proses tapisan Majlis Syura.
Annuar menyertai PAS pada Jun setelah dipecat daripada Umno, dan disenarai pendek sebagai calon PN bagi PRN pada Ogos. Bagaimanapun, beliau tidak berhasrat untuk bertanding pada masa itu.
Dalam ucapannya malam tadi, Tuan Ibrahim turut berkata, di Kemaman, PAS mahu mencontohi kemenangan pada PRK Kuala Terengganu.
Pada Julai, calon PAS Ahmad Amzad Hashim memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu, menewaskan calon PH Azan Ismail, dengan majoritinya meningkat kepada 47,266 undi, berbanding 40,907 undi pada PRU15 November lepas.