
R Thayalan, 37, dan K Mageswari, 26, didakwa secara bersama dengan niat melakukan pengabaian sehingga menyebabkan kanak-kanak lelaki itu mengalami kekurangan zat makanan.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh dihukum mengikut seksyen sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Mageswari yang tidak bekerja mengaku tidak bersalah atas satu lagi tuduhan mendedahkan kanak-kanak tersebut dengan cara yang mungkin akan menyebabkan kecederaan fizikal di bahagian tangan kanan.
Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah seksyen sama.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Pulai Jaya di sini.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Umar Faiz Kohar dan S Thiviya menawarkan wang jaminan RM15,000 setiap seorang, namun kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu wang ikat jamin dikurangkan kerana mempunyai tanggungan anak kecil dan keluarga.
Hakim Fatimah Zahari kemudian menetapkan setiap tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin.
Selain itu, mereka perlu melapor diri di balai polis setiap bulan, dilarang mengganggu saksi pendakwaan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Mahkamah menetapkan 21 Nov depan bagi tarikh sebutan semula bagi kedua-dua kes dan lantikan peguam.