Sokong Anwar, nasib Ahli Parlimen Bersatu diketahui Khamis

Sokong Anwar, nasib Ahli Parlimen Bersatu diketahui Khamis

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata ia akan ditentukan pada mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi.

Minggu lalu Ahli Parlimen Kuala Kangsar Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid memutuskan menyokong kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Bersatu akan menentukan nasib Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid pada mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Khamis ini, selepas Ahli Parlimen Kuala Kangsar itu menyatakan sokongan kepada kerajaan perpaduan.

Presidennya, Muhyiddin Yassin, berkata mesyuarat itu akan membincangkan tindakan disiplin akan dikenakan susulan kenyataan dikeluarkan, melanggar peraturan dan disiplin parti.

Katanya, beliau sudah mengarahkan Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin menetapkan mesyuarat itu.

“Tapi ini ada kaitan dengan soal disiplin parti dan kalau begitu, kita akan minta lembaga disiplin mengambil tindakan mengikut peraturan.

“Dia (lembaga disiplin) kena hantar surat tunjuk sebab, kita akan bincang…kalau dia hantar surat tunjuk sebab kepada Ahli Parlimen itu, minta dia jelaskan kenapakah tindakan tidak boleh diambil terhadapnya.

“Lembaga disiplin kena jawablah…kemudian akan teliti dan selepas itu, MPT akan buat keputusan,” katanya selepas merasmikan Persidangan Bersatu Bahagian Pagoh di Felda Batu 27 Lenga, Muar, Johor, menurut Harian Metro.

Minggu lalu, Iskandar berkata beliau memutuskan untuk menyokong kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Katanya, keputusan dibuat selepas meneliti rintihan berterusan pengundi dan menitikberatkan keperluan mendesak untuk menangani masalah krisis kenaikan kos sara hidup yang melanda kawasannya.

Sementara itu, Muhyiddin juga mengesahkan sudah memanggil 30 daripada keseluruhan 31 Ahli Parlimen parti tersebut susulan kenyataan wakil rakyat Kuala Kangsar berkenaan.

Katanya, dalam pertemuan itu semua mereka, kecuali Kuala Kangsar menyatakan ikrar untuk kekal istiqamah bersama dan juga menyokong Perikatan Nasional (PN).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.