
Shukri berkata sebagai bukti negeri ditadbirnya menerima komitmen pelaburan berjumlah RM1.3 bilion minggu lalu, tambahan daripada pelaburan sedia ada berjumlah RM2.5 bilion.
Menurutnya, menerusi pelaburan seumpama itu, Perlis, Kedah, Terengganu, dan Kelantan akan mampu berdiri sendiri tanpa bantuan kerajaan pusat pimpinan Anwar Ibrahim.
“SG4 dengan dinasihatkan Dr Mahathir, kita akan dapat bangunkan empat negeri jadi kuasa ekonomi yang ditakuti kerajaan perdana menteri ke-10 (PMX).
“Kita harap lepas ini tak bergantung dengan kerajaan pusat, kita berusaha ke arah itu untuk sejahterakan rakyat Perlis,” katanya dalam ceramah sempena Muktamar PAS ke-69 malam tadi.
September lalu, SG4 ditubuhkan membabitkan empat negeri ditadbir PN bersama Mahathir dengan memberi tumpuan pembangunan ekonomi dan menjaga kesejahteraan rakyat.
Bekas perdana menteri itu akan memainkan peranan secara tidak rasmi, terutama dalam menghubungkan SG4 bersama pelabur luar seperti Jepun dan Korea.
Sementara itu, Shukri yang dilantik sebagai menteri besar Perlis sejak November lalu berkata pentadbirannya memerlukan masa mengikis imej pentadbiran Barisan Nasional (BN) di negeri itu selama tujuh dekad.
“Perlis 70 tahun 6 bulan masa umum kemenangan PRU15 lalu, BN memerintah Perlis itulah lama tak lama.
“Nak kikis bayang itu payah perlukan masa…penggal pertama baiki dan cuci apa kerajaan lama buat, saya di Perlis baru 11 bulan perlukan masa panjang untuk memperelok pentadbiran,” katanya.