Lebih 14,000 lepasan ILKKM diserap dalam perkhidmatan

Lebih 14,000 lepasan ILKKM diserap dalam perkhidmatan

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata, ILKKM menjadi penyumbang terbesar anggota kesihatan terlatih di negara ini.

Dr Zaliha Mustafa menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Akademik kepada graduan Diploma Farmasi M Karthiga pada Istiadat Konvokesyen ILKKM Zon Semenanjung di ILKKM Sultan Azlan Shah, Ipoh, hari ini.
IPOH:
Sebanyak 14,619 lepasan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) diserap ke dalam perkhidmatan sejak 2018 hingga Jun tahun ini.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata, ILKKM juga penyumbang terbesar anggota kesihatan terlatih di negara ini.

“Sebanyak 19 institusi latihan bawah KKM di seluruh Malaysia menawarkan sebanyak 64 program Paramedik dan Auksilari Kesihatan, iaitu 13 Program Pra-Perkhidmatan, satu Program Diploma Kejururawatan (Peralihan) dan 50 program di peringkat Diploma Lanjutan dan Sijil Pos Basik.

“Daripada jumlah ini, sebanyak 38 program latihan dalam bidang kepakaran khusus ditawarkan di ILKKM dan tidak ditawarkan di mana-mana pusat pengajian lain di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan sesi pertama Istiadat Konvokesyen ILKKM Zon Semenanjung di ILKKM Sultan Azlan Shah hari ini.

Zaliha berkata, pada tahun ini sahaja, KKM menerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) telah menerima 1.4 juta permohonan untuk menyertai program latihan bawah ILKKM.

Ini sekali gus menunjukkan institut itu setanding dengan institusi atau agensi lain yang menyediakan program latihan anggota sains kesihatan, katanya.

Pada masa ini, katanya, KKM sedang berusaha meningkatkan promosi bagi program lanjutan dan bidang kepakaran yang kritikal, antaranya kebidanan, kesihatan awam dan perawatan neonatal.

Mengulas mengenai doktor kontrak, Zaliha berkata, seramai 2,083 orang pegawai perubatan kontrak akan diserap ke perkhidmatan tetap dan akan melapor diri Disember ini.

Sementara itu, sebanyak 8,643 graduan pelbagai program pengajian di ILKKM seluruh negara terlibat dalam istiadat konvokesyen tahun ini bertema “Graduan ILKKM Cemerlang, Pendukung Kesihatan Madani”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.