Calon Dr M PRK Kemaman ‘kamikaze’ bagi PN, kata Puad

Calon Dr M PRK Kemaman ‘kamikaze’ bagi PN, kata Puad

Ahli MKT Umno berkata sekalipun PAS menang kerusi Parlimen Kemaman masih belum cukup untuk tawan Putrajaya.

Puad Zarkashi berkata langkah PN menamakan Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri akan menyinggung perasaan pengerusi gabungan itu Muhyiddin Yassin.
PETALING JAYA:
Sebarang tindakan oleh PAS untuk mencalonkan Dr Mahathir Mohamad pada PRK Parlimen Kemaman 2 Dis ini disifatkan “langkah kamikaze” oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Puad Zarkashi.

Puad berkata demikian sebagai respons terhadap kenyataan Salleh Said Keruak, bekas pemimpin Umno Sabah dan menteri persekutuan, bahawa PRK Kemaman menjadi satu cara untuk mengembalikan Mahathir ke Dewan Rakyat, selaras cita-cita PAS untuk kembali berkuasa pada peringkat persekutuan.

“Tidak mungkin PRK Kemaman akan jadi tiket ke Putrajaya kalau Tun M jadi calon. Menang satu kerusi tidak ubah apa apa. Ia langkah kamikaze,” katanya di Facebook.

Semalam, Salleh mencadangkan jika memenangi kerusi Kemaman, Mahathir juga boleh menjadi calon perdana menteri bagi kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Bekas ketua menteri Sabah berkata, PAS amat percaya Mahathir boleh membantu parti itu, seperti dilakukan bekas perdana menteri tersebut ketika menerajui Pakatan Harapan (PH) untuk menawan Putrajaya pada PRU14 (2018) – “dengan syarat beliau menjadi Ahli Parlimen”.

Puad berkata, langkah “menjual nama Mahathir” akan menyinggung perasaan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin serta partinya, Bersatu.

“Muhyiddin dan Bersatu pasti tersinggung (jika) PAS yakin jual nama Mahathir lebih untung dari jual nama Muhyiddin. Bahkan PN akan pecah.

“(Macamlah) PAS tiada tokoh jadi perdana menteri. Sanggupkah PAS dicemari macam Tun M cemari PH selama 22 bulan?” soalnya, merujuk pada penggal singkat PH menjadi kerajaan selepas PRU14.

Semalam, Presiden PAS Hadi Awang menepis desas-desus Mahathir akan dinamakan sebagai calon PN di Kemaman.

“Tidak munasabah (Mahathir dicalonkan),” katanya pada sidang media di Muktamar PAS ke-69. Tambahnya, PAS dan PN masih belum memutuskan calon yang akan diketengahkan pada PRK itu.

PRK Kemaman diadakan selepas kemenangan calon PAS Che Alias Hamid pada PRU15 dibatalkan susulan dakwaan berhubung sogokan semasa tempoh berkempen untuk meraih undi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.