
Speaker DUN Negeri Sembilan MK Ibrahim Abd Rahman yang mengesahkan perkara itu, berkata Zulkefly mendapatkan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dua hari lepas kerana menghidapi komplikasi pelbagai masalah kesihatan dan perlu ditidurkan.
“Beliau dimasukkan ke ICU kerana didapati keadaan jantung lemah, kemudian doktor pakar ada beritahu saya bahawa Datuk Zulkefly juga ada beberapa penyakit lain yang menyebabkan komplikasi terbabit.
“Saya mendapat berita Allahyarham meninggal dunia kira-kira 1.30 tengah hari tadi. Jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Lenggeng untuk dimandikan serta disolatkan selepas asar ini. Moga rohnya ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman,” katanya ketika dihubungi.
Pengerusi Amanah Negeri Sembilan itu berkata beliau mengenali Zulkefly lebih 25 tahun dan menyifatkan pemergian naib pengerusi Amanah negeri itu sebagai satu kehilangan besar kepada parti yang amat dirasai seluruh ahli politik di negeri ini.
Zulkefly memulakan karier politik bersama PAS dan bertanding pada PRU10 pada 1999 di DUN Lenggeng.
Beliau pernah memegang jawatan pesuruhjaya PAS dari 2007-2011. Setelah menyertai Amanah, Zulkefly bertanding di kerusi DUN Johol pada PRU14 dan Parlimen Jelebu pada PRU15, November tahun lepas.
Zulkefly dilantik sebagai speaker DUN Negeri Sembilan pada Julai 2018 selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi PRU14.