
Pelantikan bekas menteri besar Terengganu itu diumumkan Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno malam ini.
“Mesyuarat MKT malam ini bersetuju melantik Ahmad Said sebagai ketua jentera BN untuk PRK Kemaman,” kata Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Kemaman pada 2 Disember dengan 18 November ditetapkan sebagai hari penamaan calon.
PRK Kemaman diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu yang membatalkan kemenangan Perikatan Nasional (PN) yang diwakili calon daripada PAS pada PRU15.
Keputusan itu dibuat selepas pempetisyen berjaya membuktikan wujudnya unsur rasuah ketika kempen pilihan raya. PAS tidak merayu keputusan itu.
Pada PRU15, Che Alias Hamid menang dengan majoriti 27,179 undi dalam pertembungan empat penjuru yang turut membabitkan Ahmad.
Pada 16 Okt lalu, Pengerusi BN Zahid Hamidi berkata parti itu kini lebih berhati-hati untuk bertanding PRK Parlimen Kemaman dan mengakui fikirannya terganggu memandangkan Umno pernah tewas dengan majoriti besar di kawasan itu.
Susulan itu, timbul persoalan sama ada BN menerusi Umno akan bertanding di Kemaman atau membiarkannya terus dikuasai PAS.
Asyraf turut mengumumkan Naib Presiden Umno Johari Abdul Ghani akan mengetuai kolokium pra Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB), bagi mendapatkan cadangan menjelang penganjurannya pada Januari tahun depan.
Beliau berkata Johari yang juga pengerusi majlis pembangunan ekonomi, pelaburan dan kewangan Umno diamanahkan untuk mengembleng kepimpinan parti di semua peringkat.
“Segala dapatan, maklum balas dan sumbang saran yang diperolehi melalui kolokium ini akan diangkat kepada kongres ekonomi Bumiputera yang bakal dianjurkan kelak,” katanya.