Penganggur didenda RM4,500 tampar 2 lelaki, rosak telefon bimbit

Penganggur didenda RM4,500 tampar 2 lelaki, rosak telefon bimbit

Peguam Ahmad Ikram memohon hukuman penjara tidak dikenakan terhadap anak guamnya atas alasan tertuduh menghidap penyakit jantung, darah tinggi dan kencing manis.

Majistret menjatuhkan hukuman itu terhadap Ong Hock Shin, 54, yang mengaku bersalah mencederakan Tan Huan Jin dan Lim Wei Chuan di Taman Danau Kota minggu lalu. (Gambar Reuters)
KUALA LUMPUR:
Seorang penganggur yang videonya tular kerana menampar dua lelaki dan merosakkan telefon bimbit mereka di tempat letak kereta, didenda RM4,500 oleh dua Mahkamah Majistret di sini.

Majistret S Arunjothy menjatuhkan hukuman denda RM1,800 atau 14 hari penjara terhadap Ong Hock Shin, 54, yang mengaku bersalah mencederakan Tan Huan Jin, 21, di Taman Danau Kota, Setapak, di sini pada 6 petang 14 Okt lalu.

Ong turut didenda RM2,700 atau tiga bulan penjara oleh Majistret Illi Marisqa Khalizan kerana mencederakan Lim Wei Chuan, 20, dan melakukan khianat dengan merosakkan dua telefon bimbit milik mangsa di tempat, masa dan tarikh sama.

Bagi kesalahan mencederakan, Ong dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda tidak lebih RM2,000, manakala tuduhan khianat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Hafiezah Mohamed Fauzi dan Zuhairi Osman masing-masing memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran terhadap tertuduh.

Peguam Ahmad Ikram yang mewakili Ong memohon hukuman penjara tidak dikenakan terhadap anak guamnya atas alasan tertuduh menghidap penyakit jantung, darah tinggi dan kencing manis.

Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki ditahan selepas disyaki menampar dan melemparkan telefon bimbit rakannya akibat perselisihan faham antara mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.