Pembantu kedai mengaku salah simpan 19,011 video, gambar lucah kanak-kanak

Pembantu kedai mengaku salah simpan 19,011 video, gambar lucah kanak-kanak

Dia dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret sebaik membuat pengakuan.

Liew Ming Hui mengaku salah kerana menyimpan 19,011 video dan gambar lucah kanak-kanak dalam pemacu pena miliknya. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang pembantu kedai ubat tradisional dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret Teluk Intan kerana menyimpan 19,011 video dan gambar lucah kanak-kanak dalam pemacu pena miliknya.

Menurut Berita Harian, Majistret T Ashvinii menjatuhkan hukuman itu terhadap Liew Ming Hui, 24, yang mengaku bersalah selepas tuduhan dibacakan.

Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda maksimum RM10,000, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Izzudin Fakri Hamdan mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam Jude Pereira.

Terdahulu, peguamnya merayu mahkamah menjatuhkan hukuman denda kerana anak guamnya anak tunggal yang membantu perniagaan milik bapanya, sudah insaf, dan kesalahan ini yang pertama baginya.

Timbalan pendakwa raya bagaimanapun mahu mahkamah mengenakan hukuman yang dapat memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang ramai.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara dan denda tersebut, serta tambahan lima bulan penjara jika tertuduh gagal membayar denda. Tertuduh membayar denda berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.