
Dr Azizan Abdul Aziz berkata pembuangan bayi atau janin, kebanyakan berpunca daripada kehamilan tidak dirancang. Katanya, pendekatan holistik diperlukan untuk mengurangkan kes seperti itu.
“Pelaksanaan CSE mengikut model Unesco, bersama akses lebih baik kepada perkhidmatan kesihatan seksual dan kehamilan, boleh mengurangkan jumlah kehamilan tidak dirancang dengan ketara,” kata Azizan kepada FMT.
Menurut laman sesawang Unesco, CSE adalah satu “kokurikulum berasaskan proses pengajaran dan pengetahuan mengenai kehamilan, emosi dan aspek sosial seksual”.
Pada 15 Oktober lalu, mayat bayi yang masih bertali pusat ditemui dalam pam tandas di Hospital Tawau.
Pada Jun lalu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Nancy Shukri berkata sebanyak 256 kes pembuangan bayi direkodkan antara 2020 hingga 2022 – purata 1.6 kes seminggu.
Nancy berkata kerajaan melancarkan pelan tindakan pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial kebangsaan (Pekerti) untuk meningkatkan kesedaran kesihatan reproduktif dan kehamilan di luar perkahwinan.
Pegawai program All Women’s Action Society, Lilian Kok bersetuju dengan pandangan MMA dan berkata program pendidikan seks perlu lebih inklusif.
Kok berkata topik berkaitan dengan pencegahan hamil, penyakit berkaitan seks, dan aspek emosi dalam hubungan romantik mesti dimasukan dalam program seperti itu.
“Ia juga penting untuk memberi pendidikan kepada semua peringkat umur dan perkembangan pelajar. Ia mesti bermula awal dan secara berterusan
“Mempromosikan hubungan sihat, saling menghormati dan tanpa paksaan adalah penting, untuk menangani sensitiviti budaya dalam masyarakat yang berlainan latar belakang dan kepercayaan,” katanya kepada FMT.