Mayat bayi dalam pam tandas, pasangan kekasih direman

Mayat bayi dalam pam tandas, pasangan kekasih direman

Dalam kejadian 14 Oktober lalu, mayat bayi lelaki yang dipercayai baru dilahirkan itu ditemui dalam pam tandas sebuah hospital di Tawau.

Menurut polis, kedua-dua suspek ditahan semalam dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan dan Seksyen 302 kanun yang sama.
PETALING JAYA:
Seorang wanita dan teman lelakinya direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat bayi lelaki disyaki baru dilahirkan dalam tandas sebuah hospital di Tawau, 14 Oktober lalu.

Perintah reman terhadap suspek yang masing-masing berusia 24 dan 48 tahun itu dikeluarkan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan dan Seksyen 302 kanun yang sama.

Sebelum ini media melaporkan mayat bayi lelaki dipercayai baru dilahirkan ditemui di dalam pam tandas hospital itu dengan keadaan mulut disumbat dengan tisu.

Mayat bayi cukup sifat itu ditemui seorang pekerja pembersihan kira-kira 7.10 pagi ketika sedang membuat kerja pembersihan di tandas berkenaan.

Ketua Polis Tawau Jasmin Hussin yang dipetik sebagai berkata, kedua-dua suspek yang menetap berhampiran di sebuah kampung dekat Muhibbah Raya ditahan antara 11 pagi dan 2.55 petang semalam.

“Dengan tertangkapnya kedua-dua suspek ini, kita percaya dapat menyelesaikan kes ini,” kata Jasmin menurut Harian Metro.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.