Lantang untuk angkat masalah rakyat bukan buka ‘aib’ kerajaan, kata Hassan Karim

Lantang untuk angkat masalah rakyat bukan buka ‘aib’ kerajaan, kata Hassan Karim

Ahli Parlimen Pasir Gudang itu berkata beliau hanya mengangkat masalah rakyat seperti kekurangan bekalan makanan asas di Pasir Gudang, baru-baru ini.

Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim mengakui kritikannya terhadap kelemahan kerajaan menyebabkan ada pihak yang marah.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim berkata sikapnya yang lantang mengkritik kerajaan tidak bermakna beliau sengaja mahu membuka “aib” pentadbiran Anwar Ibrahim.

Sebaliknya, pemimpin PKR itu berkata beliau “bersuara” hanya untuk mengangkat masalah rakyat seperti masalah kekurangan bekalan makanan asas yang berlaku di Pasir Gudang, baru-baru ini.

Beliau mengakui, aduannya mengenai kekurangan bekalan beras tempatan, minyak masak, telur ayam dan gula di Pasir Gudang mencetuskan kemarahan penyokong kerajaan, termasuk seorang timbalan menteri.

“Dia kata (timbalan menteri) ini tembak kaki sendiri. Kenapa dedahkan kelemahan kerajaan,” katanya dalam program temu bual, Enigma terbitan FMT.

Pada 23 September, Hassan dalam mesej terbukanya kepada Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Fuziah Salleh merayu kerajaan membantu rakyat di Pasir Gudang yang terputus bekalan makanan asas.

Mesej kepada Fuziah itu turut dikongsikan di media sosial miliknya, dan dilaporkan media tempatan. Susulan rayuan itu, Hassan berkata beliau turut dihubungi oleh Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil yang bertanyakan mengenai keadaan di Pasir Gudang.

“Saya ingat dia nak marah saya tetapi sebaliknya. Esoknya kira-kira 1,000 kotak berisi keperluan asas dari kerajaan pusat, tiba di Pasir Gudang.

“Saya tak dengar suara (teguran) daripada Anwar tapi bila tengok ada gambar dia (pada kotak), ok la dia tahu atau tidak… restu atau tidak, saya nak ucapkan terima kasih,” katanya.

Hassan juga berpendapat komunikasi kerajaan perlu ditambah baik susulan berlaku salah faham mengenai program bantuan awal persekolahan (BAP) yang tidak diumumkan perdana menteri dalam Belanjawan 2024 walaupun bantuan itu masih diteruskan.

“Pemerintah bersikap reaktif apabila (sesuatu) telah berlaku. Dia tak ambil inisiatif lebih awal, selangkah ke depan,” katanya.

Sebelum ini segelintir ibu bapa mengeluh kerana Belanjawan 2024 yang dibentangkan perdana menteri di Dewan Rakyat tidak menyentuh mengenai bantuan persediaan persekolahan seperti sebelum ini.

Bagaimanapun, Kementerian Pendidikan mengumumkan kerajaan meneruskan bayaran BAP sebanyak RM150 kepada setiap murid, melibatkan peruntukan RM788.13 juta yang akan disalurkan bermula Januari tahun depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.