Krisis makanan akibat ‘ghairah’ ubah Malaysia ‘negara perkilangan’, kata ahli ekonomi

Krisis makanan akibat ‘ghairah’ ubah Malaysia ‘negara perkilangan’, kata ahli ekonomi

Menurut Madeline Berma tindakan meminggirkan bidang pertanian menyebabkan kebanyakan sumber makanan diimport.

Madeline Berma berkata belum terlambat buat Malaysia kembali fokus kepada sektor pertanian. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Keselamatan dan keterjaminan makanan yang sedikit terancam kebelakangan ini berpunca ‘keghairahan’ pentadbiran dahulu mengubah sepenuhnya fokus kepada ‘negara perkilangan’, kata ahli ekonomi.

Madeline Berma dari Institut Masa Depan Malaysia berkata keadaan itu menyebabkan bidang pertanian ‘dipinggirkan’ yang kesannya dapat dilihat sekarang apabila kebanyakan sumber makanan diimport daripada luar negara.

Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi baru-baru ini dilaporkan berkata nilai import makanan negara kini mencecah RM62 bilion setahun berbanding RM48 bilion berpunca peningkatan permintaan selain faktor tukaran mata wang asing.

“Ahli ekonomi kita (pada ketika itu) berkata daripada menggalakkan orang menanam padi, baik kita jadikan tanah untuk (bina) kilang.

Madeline Berma.

“Jadi kita (mula) import beras daripada Thailand, Vietnam, import beras basmathi daripada India serta Pakistan yang lebih murah daripada membenarkan buruh asing di sektor ladang,” kata Madeline kepada FMT.

“Sekarang apa berlaku? Sektor pertanian terabai dan memberi kesan kepada bekalan.”

Madeline berkata tidak terlambat untuk Malaysia kembali fokus kepada sektor pertanian namun pelaksanaannya harus kepada kaedah berteknologi tinggi, seperti kebanyakan negara maju.

Mengakui sudah ada usaha ke arah itu, namun Berma berkata penggunaannya di Malaysia belum meluas dan masih bergantung kepada pekerja asing.

“Contohnya di luar negara dia guna ‘dron’ untuk tabur baja tetapi di sini masih lagi guna pam…anak muda tak minat kerana sudah dididik sejak sekolah untuk bekerja dalam pejabat,” katanya.

Secara keseluruhan, kerajaan memperuntukkan RM6.17 bilion kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bagi melaksanakan pelbagai inisiatif dalam sektor itu menerusi Belanjawan 2024.

Daripada jumlah itu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan RM400 juta bagi melaksanakan Program Pengukuhan Keterjaminan Makanan.

Tumpuan khusus kepada meningkatkan pengeluaran tanaman makanan tempatan yang masih bergantung kepada import.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.