Harga ayam tak naik di Melaka, kata KPDN

Harga ayam tak naik di Melaka, kata KPDN

Pihak KPDN Melaka menafikan laporan bahawa harga ayam di Melaka naik 70 sen, yang tular sejak semalam.

Pengarah KPDN Melaka Norena Jaafar berkata, rata-rata peniaga di negeri itu masih mengekalkan harga jualan ayam bawah harga kawalan, iaitu RM9.40 sekilogram. (Gambar Bernama)
MELAKA:
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka menafikan harga ayam naik di negeri itu.

Pengarahnya, Norena Jaafar berkata, bekalan ayam dan juga pergerakan harga ayam di pasaran Melaka terkawal dan masih mengikut harga kawalan yang ditetapkan kerajaan.

“Semalam tular satu laporan akhbar menyatakan harga ayam di Melaka naik 70 sen dan ini tidak benar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Hasil pemantauan berterusan pegawai pemantau harga dan juga pemeriksaan harian oleh penguatkuasa KPDN Melaka di seluruh negeri mendapati rata-rata peniaga masih mengekalkan harga jualan ayam bawah harga kawalan iaitu RM9.40, malah ada juga premis menjual ayam serendah RM7.99 sekilogram.”

Norena berkata, masih terdapat segelintir peniaga yang mengenakan caj pemotongan ayam antara 30 sen hingga RM1 bagi sekilogram, namun ia hanya sebagai pilihan bagi pengguna.

Sementara itu, katanya, sebanyak 24,543 premis perniagaan diperiksa setakat semalam, merangkumi peruncit, pemborong dan pengilang serta peladang.

“Sebanyak 296 kes telah direkodkan melibatkan nilai rampasan berjumlah RM1,619,571.85, terdiri daripada semua akta undang-undang yang dikuatkuasakan kementerian.

“Kompaun bernilai RM54,200 turut dikeluarkan melibatkan pelbagai kesalahan,” katanya.

Norena berkata, setakat ini tiada aduan rasmi berkaitan harga ayam diterima oleh pihak KPDN Melaka. Justeru, beliau menasihatkan semua pihak mendapatkan maklumat sahih sebelum menyebarkan kepada umum.

Para peniaga pula diingatkan agar mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan kerajaan bagi memastikan kelestarian perdagangan di negeri ini, katanya.

Pihak KPDN Melaka turut meminta pengguna melaporkan sebarang salah laku dan menyalurkan aduan berkaitan perdagangan dan isu kepenggunaan menerusi Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) KPDN Negeri Melaka di talian 06-2345869, yang beroperasi setiap hari dari 9 pagi hingga 6 petang.

Selain itu, aduan turut boleh disalurkan melalui aplikasi Whatsapp di 019 – 279 4317.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.