2 ditahan bawa pisau ke stadium ketika aksi Perak, JDT

2 ditahan bawa pisau ke stadium ketika aksi Perak, JDT

Polis menafikan dua lelaki itu ditahan berkaitan insiden membakar logo seakan bendera Israel.

Polis berkata dua lelaki itu turut ditahan kerana menghalang tugas penjawat awam.
PETALING JAYA:
Dua penyokong bola sepak ditahan kerana membawa pisau ketika aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia antara Perak FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Perak, Ipoh semalam.

Ketua Polis Perak Mohd Yusri Hassan Basri menafikan dua lelaki itu ditahan berkaitan insiden membakar logo seakan bendera Israel.

“Mereka ditahan kerana membawa barang larangan, iaitu pisau dan menghalang tugas penjawat awam,” katanya menurut Harian Metro.

Aksi JDT dan Perak FC yang berkesudahan 4-1 itu berjalan lancar tanpa dicemari insiden luar jangka disebabkan kawalan ketat polis.

Difahamkan, kira-kira 300 pegawai dan anggota polis, termasuk dari Unit Simpanan Persekutuan (FRU) digerakkan bagi mengawal keadaan di stadium.

Tetapi, kekecohan tercetus selepas perlawanan tamat, di mana penyokong tuan rumah membakar kain putih dilukis logo seakan bendera Israel, namun keadaan terkawal.

Penyokong dua pasukan itu turut dilihat membawa bendera Palestin sebagai tanda solidariti kepada negara itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.