Utama kepentingan negara, rakyat lebih daripada parti, kata Salleh

Utama kepentingan negara, rakyat lebih daripada parti, kata Salleh

Bekas menteri itu berkata Ahli Parlimen dan Adun perlu melihat gambaran lebih besar dalam membuat keputusan di Parlimen atau sidang DUN.

Bekas menteri Salleh Said Keruak berkata wujud keperluan untuk membezakan antara mempertahankan kepentingan negara dan awam, berbanding melompat parti. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Wakil rakyat sepatutnya mengutamakan kepentingan negara, negeri dan awam mengatasi parti masing-masing, kata bekas menteri Salleh Said Keruak ketika mempertahankan tindakan seorang Ahli Parlimen pembangkang yang dikritik kerana menyokong kerajaan.

Salleh berkata, sekalipun parti yang memberikan ahli politik peluang untuk menjadi wakil rakyat, sebenarnya “pengundi yang mengundi kita menjadi Ahli Parlimen atau Adun.”

“Jadi kita semua patut menganalisis dan menilai isu ini, melihat gambaran lebih besar dan memahami perspektif secara meluas ketika membuat keputusan di Parlimen atau dalam sidang Dun,” katanya di Facebook.

Salleh yang juga bekas ketua menteri Sabah, mengulas kritikan terhadap Ahli Parlimen Kuala Kangsar Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid daripada Bersatu, yang baru-baru ini mengisytiharkan sokongan terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Dalam mempertahankan keputusan itu, Iskandar berkata ia bertujuan meredakan beban penduduk kawasannya dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat. Katanya, peruntukan akan disalurkan kepada Ahli Parlimen yang menyokong dasar kerajaan perpaduan.

Perikatan Nasional, gabungan pembangkang, kini mempertimbangkan mengambil tindakan terhadap Iskandar.

Salleh menyifatkan Iskandar sebagai seseorang yang meletakkan kepentingan negara dan awam melangkaui komitmen parti.

Beliau juga perlu ada keupayaan untuk membezakan antara tindakan mempertahankan kepentingan negara awam berbanding melompat parti.

Katanya, rakyat, khususnya pengundi, mengharapkan wakil rakyat mereka supaya lebih memandang berat kepentingan negara dan awam.

“Ini yang kita sebagai ahli politik janjikan kepada rakyat dan pengundi ketika berkempen.”

Semalam, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata Iskandar tidak melanggar undang-undang antilompat parti kerana tidak meninggalkan Bersatu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.