Teknologi RFID kunci kurangkan sesak di plaza tol, kata pakar

Teknologi RFID kunci kurangkan sesak di plaza tol, kata pakar

Perunding pengangkutan berkata, kerajaan perlu fokus pada meningkatkan penggunaan RFID.

Oktober lepas, Jemaah Menteri bersetuju secara dasar untuk melaksanakan sistem trafik MLFF di lebuh raya bertol menjelang 2025. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan digesa fokus pada meningkatkan penggunaan teknologi Pengecaman Frekuensi Radio (RFID) untuk mengurangkan kesesakan di plaza tol.

Perunding pengangkutan Wan Agyl Wan Hassan berkata, teknologi RFID penting untuk memudahkan peralihan kepada tol tanpa palang atau lebih dikenali sebagai sistem trafik aliran bebas berbilang lorong (MLFF).

Katanya, walaupun sistem pembayaran terbuka (OPS) di plaza tol adalah suatu perkembangan baik, ini tidak akan membantu dalam peralihan kepada sistem MLFF.

Bekas pegawai Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) itu berkata, sistem MLFF dapat menghapuskan kesesakan memandangkan pengguna jalan raya tidak perlu melalui palang tol.

“Bagaimanapun, masih wujud persoalan bagaimana bayaran akan dikutip. Di situlah teknologi RFID memainkan peranan,” katanya kepada FMT.

Walaupun lorong RFID telah diperkenalkan di lebuh raya bertol, terdapat pelbagai aduan mengenai sistem itu, khususnya mengenai keupayaannya mengesan tag RFID. Selain itu, bilangan lorong RFID di plaza tol juga terhad.

Wan Agyl berkata, disebabkan itu, kerajaan dan Touch ‘n Go, yang mengendalikan sistem RFID di plaza tol, perlu berusaha menambah baik sistem itu.

“Pengguna jalan raya enggan beralih kepada RFID kerana lazimnya terdapat lebih banyak lorong Touch ‘n Go serta Smart Tag berbanding RFID,” katanya.

“Mereka perlu memastikan terdapat lebih banyak lorong RFID di plaza tol, kerana jika cuma ada satu lorong, ini tidak cukup menarik untuk pengguna jalan raya.”

Oktober lepas, Jemaah Menteri bersetuju secara dasar untuk melaksanakan sistem trafik MLFF di lebuh raya bertol menjelang 2025.

Perunding pengangkutan Rosli Khan berkata, walaupun MLFF dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas, cabarannya mungkin dari segi menggalakkan pemilik konsesi menerima idea itu.

“Mereka akan melihat ini sebagai pelaburan baharu yang bukan sebahagian daripada kos asal pembinaan lebuh raya, seterusnya tidak dihitung dalam kadar tol mereka,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.