Tak perlu wujud agensi tunggal bawah JPM urus EV, kata Tengku Zafrul

Tak perlu wujud agensi tunggal bawah JPM urus EV, kata Tengku Zafrul

Menteri pelaburan, perdagangan dan industri itu berkata, tindakan yang lebih penting adalah memperkemas kementerian dan agensi berkaitan sedia ada.

Semua pihak berkepentingan terlibat dalam proses ekosistem EV, menurut Tengku Zafrul Abdul Aziz. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz menolak cadangan agar sebuah agensi ditubuhkan bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk mengurus hal berkaitan kenderaan elektrik (EV).

Beliau berkata, tindakan yang lebih penting adalah memperkemas kementerian dan agensi berkaitan sedia ada, memandangkan rangka kerja dan garis panduan perundangan masih terletak bawah bidang kuasa Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti)

“Penggunaan awam memerlukan komitmen pada semua peringkat kementerian, agensi dan pemain industri. Semua pihak berkepentingan terlibat dalam proses ekosistem EV,” katanya di Dewan Rakyat.

Tambahnya, Jemaah Menteri memantau penglibatan menteri-menteri yang terlibat dalam proses EV melalui mesyuarat Jawatankuasa Pemandu EV Kebangsaan (NEVSC).

Beliau berkata demikian menjawab Lim Lip Eng (PH-Kepong) yang mencadangkan kerajaan mewujudkan sebuah agensi tunggal bawah JPM untuk menguruskan EV, yang menurutnya sektor yang dibelenggu birokrasi.

“(EV) kena dapatkan kelulusan Miti, Kementerian Pengangkutan; stesen cas libatkan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT); dan bateri pula mungkin libatkan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.