
Anwar mengakui wujud “khabar angin” mendakwa kerajaan persekutuan campur tangan dalam proses mahkamah dan mempengaruhi badan kehakiman.
“Tiada sekelumit pun kebenaran dalam tuduhan palsu ini, yang kini diulang berkali-kali dalam media sosial,” katanya semasa merasmikan Persidangan Agung ke-14 Persatuan Undang-Undang Asean dan Persidangan Undang-Undang Asean 2023.
“Sebagai perdana menteri, bukan sahaja saya tidak akan menceroboh walaupun satu inci kebebasan badan kehakiman, malah saya akan mempertahankan, dengan apa cara sekalipun kebebasan badan kehakiman,” katanya.
Anwar berkata pada satu ketika dalam sejarah negara, “ada kambing hitam dalam badan kehakiman” yang bekerjasama rapat dengan segelintir individu berkuasa untuk melakukan kejahatan.
Bagaimanapun, perdana menteri menegaskan bahawa perkara seperti itu tidak berlaku semasa pemerintahannya.
“Biar saya sekali lagi menekankan kepentingan utama badan kehakiman yang bebas, tidak memihak, dan cekap.
“Sebagai benteng keadilan itu sendiri, badan kehakiman seperti itu adalah suatu syarat utama bagi prinsip kedaulatan undang-undang,” katanya.
Pada bulan lalu, Anwar menafikan mempengaruhi keputusan mahkamah yang melepas tanpa membebaskan (DNAA) Zahid daripada tuduhan rasuah berkait kes Yayasan Akalbudi.
Pejabat Peguam Negara mempertahankan keputusan DNAA itu dan berkata alasan yang dikemukakan di Mahkamah Tinggi dilihat “meyakinkan” dan diterima Hakim Collin Lawrence Sequerah.
Zahid dilepas tanpa dibebaskan daripada semua 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram.
Beliau didakwa melakukan pecah amanah berjumlah jutaan ringgit dari yayasan beliau, Yayasan Akalbudi, dan menerima suapan untuk pelbagai projek semasa menjadi menteri dalam negeri antara 2013 dan 2018.
Bagaimanapun, keputusan tersebut mendapat kritikan keras, dengan aktivis, pemimpin parti dari kerajaan perpaduan serta daripada pembangkang menuntut penjelasan daripada Peguam Negara.