Remaja antara 2 maut nahas 3 kenderaan di Melaka

Remaja antara 2 maut nahas 3 kenderaan di Melaka

Taufiq Ikhwan Akmal Abdullah, 15, dan Shahrul Effendi Sabtu, 23, meninggal dunia di tempat kejadian pada 2.35 petang tadi.

Keadaan motosikal mangsa selepas bertembung di Jalan Sungai Ragok, Air Paabas hari ini. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Dua penunggang motosikal maut dalam nahas tiga kenderaan di Jalan Sungai Ragok, Air Paabas, Alor Gajah.

Remaja 15 tahun, Taufiq Ikhwan Akmal Abdullah dan pembantu kantin sekolah, Shahrul Effendi Sabtu, 23, meninggal dunia di tempat kejadian pada 2.35 petang tadi.

Ketua Polis Alor Gajah, Arshad Abu, berkata nahas dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggang Taufiq Ikhwan hilang kawalan ketika cuba memotong kereta dipandu seorang wanita 23 tahun dari arah bandar Alor Gajah.

Katanya, mangsa yang bertembung dengan motosikal ditunggang Shahrul Effendi dari arah bertentangan, tercampak ke kiri jalan dan dilanggar pemandu kereta terbabit.

“Kedua-dua penunggang motosikal meninggal dunia, manakala pemandu wanita tidak cedera,” katanya menurut Harian Metro.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau meminta saksi kejadian tampil ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.