Kerajaan P Pinang tarik balik rayuan selepas EIA projek tambakan lulus

Kerajaan P Pinang tarik balik rayuan selepas EIA projek tambakan lulus

JAS meluluskan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) bagi Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang pada April.

PSI dikritik oleh sekumpulan nelayan, aktivis alam sekitar, dan perkumpulan penjawat awam bersara, G25, yang bimbang akan kesan terhadap hidupan laut. (Gambar SRS Consortium)
PUTRAJAYA:
Kerajaan Pulau Pinang menarik balik rayuan terhadap keputusan mahkamah menolak permohonannya untuk mencabar keputusan lembaga rayuan Jabatan Alam Sekitar (JAS), yang membatalkan kelulusan penilaian bagi projek PSI.

Ia tidak lagi ingin meneruskan kes terhadap keputusan Mahkamah Tinggi selepas JAS akhirnya meluluskan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) bagi Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang, pada April.

Demikian itu, Mahkamah Rayuan hari ini membatalkan rayuan tersebut namun Hakim Hanipah Farikullah memerintahkan kerajaan negeri membayar RM3,000 kepada seorang responden, Zakaria Ismail, sebagai kos.

Hanipah bersidang bersama Lim Chong Fong dan Azhahari Kamal Ramli. Kerajaan negeri diwakili oleh Charanjit Singh selaku pegawai undang-undang manakala Jessica Ram Binwani dan A Lalith Kumar tampil bagi pihak Zakaria, seorang nelayan.

Kerajaan negeri pada Sept mengumumkan PSI akan boleh dimulakan selepas Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) pula diluluskan JAS, yang dijangka mengambil masa dua bulan.

Projek PSI dikritik oleh sekumpulan nelayan, aktivis alam sekitar, dan perkumpulan penjawat awam bersara, G25, yang bimbang akan kesan terhadap hidupan laut.

Pada awalnya EIA bagi PSI diluluskan pada 2019 namun Zakaria berjaya mendapatkan lembaga rayuan JAS untuk membatalkan kelulusan tersebut. Kerajaan negeri kemudian memulakan prosiding semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi, namun permohonannya ditolak.

EIA bagi projek PSI akhirnya diluluskan JAS pada April, dengan 71 syarat yang perlu dipatuhi kerajaan Pulau Pinang.

Projek tambakan laut ini merupakan inisiatif kerajaan negeri untuk membiayai Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang. Projek berdekatan Permatang Damar Laut ini kini dikecilkan daripada tiga pulau buatan kepada sebuah pulau.

Jessica yang mewakili Zakaria memberitahu pemberita bahawa nelayan itu memfailkan rayuan baharu kepada lembaga rayuan JAS pada Mei, untuk mencabar kelulusan terkini namun urusetia belum melantik anggota panel untuk mendengar rayuan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.