OSA bukan untuk sorok urusan mencurigakan, kata PM

OSA bukan untuk sorok urusan mencurigakan, kata PM

Anwar Ibrahim berkata, pentadbiran mesti telus, atas prinsip 'kerajaan terbuka'.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim tegas kuasa-kuasa kerajaan mesti digunakan mengikut undang-undang.
KUALA LUMPUR:
Pemerintah dan mereka yang berkuasa mesti dipertanggungjawabkan atas tindakan dan keputusan mereka, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Demikian itu pentadbiran mestilah telus atas prinsip “kerajaan terbuka”, tegasnya sambil membidas penyalahgunaan Akta Rahsia Rasmi (OSA)

Dalam ucapannya pada Perhimpunan Agung Persatuan Undang-undang Asean 2023 dan Persidangan Undang-undang Asean, Anwar berkata OSA tidak boleh digunakan “untuk menyembunyikan kebenaran daripada rakyat”.

Tambahnya, kuasa-kuasa kerajaan mesti digunakan mengikut undang-undang, undang-undang harus lah adil, dan semua pihak patut boleh mendapatkan keadilan.

Pejabat Perdana Menteri bulan lepas mengumumkan kerajaan pada dasarnya bersetuju menggubal Akta Kebebasan Maklumat.

Ia melibatkan garis panduan dan had yang jelas agar orang awam mempunyai akses untuk mendapatkan maklumat daripada kerajaan serta agensinya dan syarikat awam.

Selaras keputusan itu OSA akan dipinda sewajarnya, katanya.

Pentadbiran Anwar menyahklasifikasi beberapa laporan penting termasuk mengenai nahas pesawat pada 1976, dikenali sebagai tragedi “Double Six”, yang meragut nyawa ketua menteri Sabah ketika itu, Fuad Stephens, dan 10 individu lain.

Semalam, kerajaan turut menyahklasifikasi laporan forensik kejadian tanah runtuh Batang Kali, yang berlaku pada Disember tahun lepas meragut 31 nyawa termasuk 13 kanak-kanak, serta mencederakan 61 yang lain.

Bagaimanapun, susulan nyahklasifikasi kedua-dua laporan itu, ahli keluarga mangsa menzahirkan rasa tidak puas hati disebabkan kekurangan jawaban dan kebertanggungjawaban.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.