
Harian Metro melaporkan Ly Vandy, 33, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di depan Hakim Abu Bakar Manat.
Mengikut fakta kes, remaja 14 tahun itu berjalan bersendirian sebelum ditegur tertuduh, tetapi mangsa tidak mengendahkannya pada 9.30 malam 12 Okt lalu.
Mangsa kemudian meminta tolong kerana dikejar anjing dan kebetulan disedari tertuduh yang menghulurkan bantuan dengan membawa mangsa menaiki motosikalnya.
Tertuduh membawa mangsa ke rumahnya di sebuah kampung di Batu Pahat dan mengambil kesempatan mencabulnya.
Mangsa cuba menghalang perbuatan tertuduh, tetapi gagal dan tertuduh juga cuba merogol mangsa, namun tidak berjaya.
Mangsa berjaya keluar dari rumah tertuduh pada 4 pagi untuk meminta bantuan orang ramai.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 14 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Hakim memerintahkan tertuduh dipenjara lima tahun dan dua sebatan, yang berkuat kuasa dari tarikh tangkapan pada 13 Okt lalu.