Anies calon presiden Indonesia ikrar terap keadilan, kesaksamaan dalam pembangunan

Anies calon presiden Indonesia ikrar terap keadilan, kesaksamaan dalam pembangunan

Anies Rasyid Baswedan berkongsi tentang merapatkan jurang sosial, menarik pelaburan asing, dan mengukuhkan rupiah, dalam rancangan temubual baharu FMT.

Calon presiden Indonesia Anies Baswedan membayangkan pembangunan 14 bandar di Indonesia menjadi ‘enjin’ pertumbuhan ekonomi.
PETALING JAYA:
Calon pemilihan presiden Indonesia Anies Rasyid Baswedan menjanjikan perubahan yang positif sekiranya diamanahkan dengan mandat.

Menuju pilihan raya pada 14 Feb depan, Anies, 54, berkongsi dengan Shireen Muhiudeen, daripada syarikat pengurus dana Corston-Smith, bahawa beliau ingin menerapkan prinsip keadilan dan kesaksamaan dalam dasar pembangunan Indonesia.

Ditemubual dalam episod pertama “Stakeholders, with Shireen” yang disiarkan FMT hari ini, Anies berkata jurang sosial di Indonesia yang luas harus dirapatkan.

Bekas gabenor Jakarta dari 2017 hingga 2022 ini menarik perhatian kepada fenomena jurang-jurang meluas di banyak negara, khasnya berkenaan kemewahan dan pendidikan, tatkala jurang antara negara dan kota-kota serata dunia merapat.

“Bandingkan Jakarta, Kuala Lumpur, Tokyo, London dan New York pada 70-an dengan hari ini, kita lihat jurang antara kota-kota ini semakin kecil.

“Namun jurang dalam negara pula semakin besar, misalnya antara Kuala Lumpur dengan wilayah lain di Malaysia, begitu juga Jakarta dengan wilayah Indonesia lain.”

Justeru beliau percaya pembangunan perlukan pendekatan baharu tanpa menjejaskan kestabilan dan kebolehramalan Indonesia; dua sisi penting yang menjadi daya menarik pelaburan asing ke negaranya.

“Kita mahu mendorong kira-kira 14 bandar lain menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi di seluruh Indonesia. Bandar-bandar ini harus diuar-uarkan dan ditingkatkan agar menjadi ‘enjin’ pembangunan, agar ekonomi kita tidak hanya tertumpu di Jawa atau Nusantara tetapi serata Indonesia.”

Anis mahu menerapkan prinsip keadilan dan kesaksamaan dalam dasar-dasar pembangunan Indonesia, yang pernah beliau perkenalkan ketika menjadi gabenor Jakarta.

“Orang tanya apa yang saya maksudkan dengan kesaksamaan?”

“Kita pastikan jalan raya kita mesra semua mod pengangkutan – bagi pejalan kaki, penunggang basikal, kenderaan dua atau empat roda, serta pengangkutan awam.”

Katanya, dasar “complete street” yang beliau perkenalkan ketika itu yang tidak semata-mata memberi tumpuan kepada kenderaan empat roda, menyebabkan peningkatan mendadak dalam jumlah pengguna basikal.

“Kita tetapkan suatu nilai, terjemahkan ia dalam suatu dasar, zahirkan nilai itu, dan pastikan semua orang dalam birokrasi anda – daripada Jemaah Menteri hingga ke ketua-ketua wilayah dan daerah – ikut dasar itu.”

Shireen Muhiudeen daripada syarikat pengurus dana Corston-Smith menemubal calon presiden Indonesia, Anies Baswedan, dalam episod pertama rancangan temubual baharu FMT, “Stakeholders, with Shireen”. (Gambar Anies Rasyid Baswedan)

Menarik FDI

Anies akui persaingan di rantau ini untuk menarik pelaburan langsung asing amat sengit, namun Indonesia boleh mendahului dengan menawarkan kepastian dari segi undang-undang, konsisten dari segi peraturan, menegakkan kedaulatan undang-undang, memerangi rasuah, dan menggalakkan tadbir urus baik.

Beliau menambah Indonesia perlu berusaha menambah baik sistem logistik dan prasarana, serta memastikan ketersediaan modal insan.

“Kita ada banyak institusi pendidikan dan latihan yang boleh disesuaikan dengan keperluan FDI mana-mana sektor tertentu.”

Anies mengenal pasti tiga sektor yang boleh diberikan tumpuan.

“Pertama ialah bidang sumber asli, di mana peluangnya masih luas.

“Kedua ialah pembuatan. Kenapa ia penting? Kerana kita perlu cipta sekurang-kurangnya 3 juta pekerjaan setiap tahun.”

Bagi tujuan itu, katanya, Indonesia perlu melaksanakan dasar perindustrian semula yang akan menyediakan pekerjaan di seluruh negara.

Beliau juga mahu merangsang industri kreatif Indonesia bagi memanfaatkan ramai pemuda-pemudi berbakat yang menarik perhatian pelabur asing.

Dasar kewangan mesra pasaran

Mengenai strategi mengukuhkan rupiah, Anies berkata: “Saya percaya kekuatan mata wang kita mencerminkan fungsi produktiviti kita.”

Beliau berkata Indonesia perlu bersiap sedia untuk terbabit dalam perdagangan rentas sempadan.

“Kita perlu terus membekalkan barangan dan perkhidmatan kepada dunia serta menyumbang kepada ekonomi dunia secara aktif.”

Anies membayangkan pentadbiran yang berpandukan kepada “teknokrat-teknokrat ekonomi yang sangat cekap” untuk merangka dasar-dasar kewangan, fiskal, dan sektor yang “koheren”.

Katanya, kepimpinan diterajui beliau akan tumpu pada memberikan hala tuju politik dan kurang campur tangan kewangan serta fiskal, “kecuali jika perlu untuk menjaga kestabilan dalam negara.”

Dalam pada itu, rupiah perlu dibenarkan turun naik dalam suatu “band” sebagai isyarat kepada pasaran dunia berhubung “kedudukan kita dari segi menyediakan ruang bagi pasaran beroperasi”.

Anis turut mengiktiraf keperluan mengawal inflasi bagi mengekalkan kekuatangan rupiah. “Kestabilan dalam sektor makanan adalah penting.”

Beliau juga berikrar memastikan kestabilan politik, dengan mengekalkan demokrasi yang “bertenaga”.

Anies bersaing dengan Prabowo Subianto dan Ganjar Pronowo pada pemilihan tahun depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.