3 sektor kritikal masih alami defisit pekerja, kata Saifuddin

3 sektor kritikal masih alami defisit pekerja, kata Saifuddin

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution memaklumkan tiga sektor itu melibatkan pembinaan, pertanian, dan perladangan.

Kerajaan membawa masuk lebih 660,000 pekerja asing bagi memenuhi permintaan lima sektor kritikal.
KUALA LUMPUR:
Sektor melibatkan pembinaan, pertanian dan perladangan masih mengalami defisit sungguhpun lebih 667,000 pekerja asing berjaya dibawa masuk bagi memenuhi permintaan lima sektor kritikal, kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution.

“Bagi sektor pembinaan, unjuran 301,000 pekerja asing diperlukan dan kemasukkan 220,230. Masih ada pengurangan hampir 80,000.

“Unjuran 90,000 pekerja asing untuk sektor pertanian tetapi kemasukan 53,638.

Manakala sektor perladangan, unjuran 57,000 tetapi kemasukan 52,123,” katanya pada sidang media mesyuarat jawatankuasa mengenai pengurusan pekerja asing di Pusat Dagangan Kuala Lumpur.

Saifuddin berkata sektor perkilangan dan perkhidmatan pula mengalami surplus yang berlebihan.

Bagaimanapun, majikan dalam sektor perkhidmatan antara yang ramai dikategorikan sebagai berisiko tinggi, iaitu tahap kepatuhan syarat mahupun undang-undang yang rendah, melibatkan kebajikan pekerja.

“Sekiranya majikan terbabit gagal berbuat demikian, agensi kawal selia akan terus laksanakan langkah berikutnya umpama melakukan penyiasatan.

“Kalau ianya berkaitan perlanggaran seksyen dan undang-undang tertentu, dia boleh membawa kepada kertas siasatan dibuka dan berakhir di mahkamah,” katanya.

Dalam pada itu, Saifuddin akui kemungkinan wujud unsur-unsur salah guna pas pekerja asing dalam sektor perkhidmatan berkenaan, susulan surplus berlebihan itu.

“Untuk saya katakan itu tak berlaku tidak munasabah. Ianya berlaku tapi apakah satu tahap yang mereka melanggar, tak patuh langsung? Tidak.

“Daripada pemantauan kita ianya berlaku. Apabila itu berlaku, tentulah tindakan dikenakan kepada majikan,” katanya.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata pihaknya turut meluluskan permohonan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) berkaitan pembukaan sub-sektor taman tema bagi tujuan keperluan pekerja asing, dalam mesyuarat tadi.

“Kita ada 78 taman tema di negara ini dan keperluan pekerja itu sekarang adalah hampir 13,000. Jadi ada keperluan lagi 2,000,” katanya.

Bulan lalu, Saifuddin berkata lebih 550,000 pekerja asing dibawa masuk secara berperingkat untuk memenuhi permintaan lima sektor kritikal.

Jumlah ini di bawah Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing dan Pelan Rekalibrasi Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) 2.0 khusus untuk Program Rekalibrasi Tenaga Kerja.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.