Taska dakwa premis berdaftar, bapa bayi maut di pusat asuhan rasa tertipu

Taska dakwa premis berdaftar, bapa bayi maut di pusat asuhan rasa tertipu

Faizul Ali Adam berkata, berdasarkan rakaman CCTV, anaknya dibaringkan dalam keadaan meniarap selama satu jam oleh pengasuh.

Anak perempuan Faizul Ali Adam berusia dua bulan meninggal dunia di sebuah taska, minggu lalu.
PETALING JAYA:
Seorang bapa yang anaknya meninggal dunia ketika dalam jagaan sebuah taska di Kota Damansara minggu lalu, terkejut apabila mengetahui premis berkenaan sebenarnya tidak berdaftar.

Faizul Ali Adam, 33, berkata beliau mengetahui perkara itu daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selepas kematian bayi perempuannya, Qaseh Aulia Faizul yang baru berusia dua bulan.

“Kami menghantar anak sulung ke taska sama. Kami tanya sama ada mereka berdaftar, dan mereka beritahu ya,” katanya kepada FMT dengan menambah beliau rasa “tertipu” dengan pusat asuhan berkenaan.

Faizul yang juga jurutera mendakwa pegawai penyiasat polis memaklumkan tiada rekod pusat asuhan kanak-kanak itu dalam pangkalan data JKM.

Qaseh meninggal dunia ketika dalam jagaan taska itu pada Selasa lalu, iaitu hari keduanya di situ.

Faizul berkata beliau dan isteri, Maisarah Rosli, 33, kecewa dengan cara pengasuh itu mengendalikan Qaseh.

Katanya, melihat rakaman televisyen litar tertutup, anaknya dilihat dibalut kain dan dibaringkan dalam keadaan meniarap sekitar jam 9.36 pagi.

“Selepas dua minit, kira-kira 9.38 pagi, pengasuh meninggalkan anak saya untuk membuat kerja lain. Anak saya dilihat mengangguk-angguk kepala tetapi sekitar jam 10 pagi sudah tiada pergerakan.

“Hanya pada kira-kira 10.58 pagi barulah pengasuh itu menyedari anak saya tidak bergerak. Anak saya dibiarkan meniarap seperti itu selama sejam,” katanya dengan menambah taska itu membawa anaknya ke klinik dan kemudian Pusat Perubatan Universiti Malaya di mana dia disahkan meninggal dunia.

Ketua Polis Petaling Jaya Fakhrudin Abdul Hamid memberitahu FMT pihaknya masih menunggu laporan bedah siasat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.