
Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) mahu pemerintah nyatakan apakah matlamat rundingan itu, kerana situasi hari ini tidak seperti ketika pentadbiran Ismail Sabri Yaakob yang mempunyai majoriti tipis di Dewan Rakyat, sehingga memerlukan suatu persefahaman demi kestabilan politik.
“Runding untuk apa? Kalau ada syarat, beritahu supaya rakyat semua boleh lihat syaratnya… sebut dalam Dewan,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2024.
“Sekarang kerajaan dah ada majoriti selesa… adakah kerajaan nak berunding kerana kerajaan sendiri tidak yakin dengan Ahli Parlimen kerajaan?”
Di sebalik tekanan berhubung peruntukan sama bagi semua wakil rakyat, Anwar beberapa kali mengajak Ahli Parlimen berunding dengan pemerintah, seperti mana dipraktikkan ketika pentadbiran lepas.
Ajakan itu bagaimanapun tidak disambut oleh Perikatan Nasional, meskipun yang mengetuai rundingan bagi pihak kerajaan adalah pemimpin kanan Gabungan Parti Sarawak, Fadillah Yusof, yang juga timbalan perdana menteri.
Baru-baru ini, Ahli Parlimen Kuala Kangsar Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid mengisytiharkan sokongan kepada kepimpinan Anwar, kerana tidak sanggup melihat pengundi di kawasannya terbiar dan ketinggalan semata-mata perbalahan naratif politik.
“Mulai hari ini kita tak payah lagi harapkan peruntukan kerana nampak sangat kerajaan rasanya sudah putuskan memang taknak bagi,” dakwa Fadhli.